IPOH: Kontinjen Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) muncul johan kawad kategori jabatan kerajaan sempena perbarisan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Perak, di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh di sini, hari ini.

Tempat kedua dimenangi Jabatan Kerja Raya (JKR) tempat kedua dan ketiga Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pula muncul johan kawad kategori pihak berkuasa tempatan, badan berkanun, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diikuti Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak dan Lembaga Air Perak.

Bagi kategori pejabat tanah dan daerah (PTD) pula, tempat pertama dimenangi Kinta, kedua Hilir Perak dan ketiga Kerian.

Sekolah Raja Perempuan Taayah memenangi kategori institusi pendidikan awam / swasta / sekolah diikuti Universiti Pendidikan Sultan Idris tempat kedua dan Sekolah Izzuddin Shah tempat ketiga.

Kontinjen Jabatan Pengairan dan Saliran muncul johan kawad kategori jabatan kerajaan sempena Hari Kebangsaan 2022 Peringkat negeri Perak. - Foto Astro AWANI

Bagi kategori pancaragam pula, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet Ipoh muncul johan diikuti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak naib johan dan ketiga SMJK Ave Marian Convent Ipoh.

Kontinjen PTD Hulu Perak menjadi pemenang pakaian terbaik, kedua Lembaga Air Perak dan ketiga Majlis Bandaraya Ipoh.

Johan setiap kategori menerima wang tunai RM5,000, kedua RM3,000 dan ketiga RM2,000 berserta hadiah iringan.

Hadiah-hadian disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh.