IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menghadiri majlis sambutan Hari Kebangsaan 2022 peringkat negeri di pekarangan Dewan Bandaran Ipoh, pada Rabu.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 8.20 pagi diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Anggota Exco Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Sejurus ketibaannya, Sultan Nazrin memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada 106 pegawai dan anggota lain-lain pangkat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen, Kem Sangro, Taiping sambil diiringi pancaragam KD Pelandok Tentera Laut Diraja Malaysia.

Acara sambutan bermula dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan bacaan doa oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abd Farid Salleh diikuti nyanyian lagu "Negaraku" dan ikrar Hari Kebangsaan.

Acara sambutan diserikan dengan persembahan koir gabungan tiga buah sekolah - SJKC Ave Maria Convent, SMJK Sam Tet Ipoh dan SMJK Ave Maria Convent - dengan lagu "Keluarga Malaysia Teguh Bersatu" dan "Jalur Gemilang".

Persembahan muzikal yang mengisahkan perjuangan rakyat Malaysia bersama-sama menentang pandemik COVID-19 turut mencuri perhatian.

Sambutan diteruskan dengan perarakan masuk perbarisan 95 kontinjen yang disertai kira-kira 6,200 peserta pelbagai agensi dan kerajaan tempatan, swasta, pasukan beruniform, universiti, sekolah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Perarakan turut dimeriahkan lagi dengan penyertaan 14 pasukan pancaragam sekolah dan pasukan beruniform di samping 22 kontinjen kenderaan pelbagai agensi, swasta dan NGO.

Selepas dua tahun sambutan tidak diadakan ekoran kekangan pandemik COVID-19, dianggarkan lebih 20,000 rakyat terdiri daripada masyarakat berbilang kaum menghadiri sambutan untuk menunjukkan semangat patriotik masing-masing.

Selesai aturcara sambutan, Sultan Nazrin serta kenamaan-kenamaan lain menghadiri majlis jamuan teh dan penyampaian hadiah di pekarangan Stesen Keretapi Ipoh.