Skip to main content

Malaysia

Hari Kebangsaan: Rapid KL operasi 24 jam pada 30, 31 Ogos

MERDEKA BERSAMA RAPID KL : PERKHIDMATAN REL DAN BAS TERPILIH BEROPERASI 24 JAM PADA 30 & 31 OGOS 2026 -- FB Rapid KL
Rapid KL memaklumkan pelaksanaan operasi 24 jam itu melibatkan semua perkhidmatan rel kendaliannya, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Rapid KL akan melanjutkan waktu operasi beberapa perkhidmatan rel dan bas terpilih selama 24 jam pada 30 dan 31 Ogos ini bagi memudahkan orang ramai menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Dataran Putrajaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rapid KL memaklumkan pelaksanaan operasi 24 jam itu melibatkan semua perkhidmatan rel kendaliannya, termasuk Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel Kuala Lumpur.

Menurutnya, kekerapan tren akan ditingkatkan di beberapa laluan utama bagi menampung pertambahan jumlah penumpang sepanjang tempoh sambutan.

"Jadual perkhidmatan akan diselaraskan mengikut permintaan dan keadaan semasa di stesen. Tren tambahan turut akan digerakkan sekiranya diperlukan berdasarkan pemantauan terhadap jumlah penumpang serta tahap kesesakan di platform," kata kenyataan itu.

Selain itu, Perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway bersama beberapa laluan bas Rapid KL dan Rapid KL On-Demand juga akan beroperasi selama 24 jam bagi menyediakan lebih banyak pilihan pengangkutan kepada pengguna.

"Bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke lokasi sambutan di Putrajaya, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma melibatkan 103 bas.

"Perkhidmatan itu akan beroperasi dari Stesen Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 bermula jam 2 petang pada 30 Ogos hingga jam 2 petang pada 31 Ogos," katanya lagi.

Sementara itu, satu lagi laluan bas perantara percuma akan disediakan dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) ke Jalan Tun Hussein, Presint 3 bermula jam 4 pagi hingga 2 petang pada 31 Ogos.

Dalam perkembangan sama, Rapid KL memaklumkan lebih 5,000 petugas barisan hadapan daripada pelbagai unit akan ditugaskan secara syif sepanjang 30 dan 31 Ogos.

Menurut kenyataan itu, penugasan berkenaan bertujuan menyokong operasi perkhidmatan, mengurus pergerakan orang ramai serta memastikan aliran penumpang di stesen dan kawasan tumpuan berjalan lancar serta selamat sepanjang sambutan berlangsung.

Must Watch Video

Advertisement