KUALA LUMPUR: Tiada amalan menjemput bekas Perdana Menteri secara automatik ke Sambutan Hari Kebangsaan sejak 2018, jelas Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah.
Abdul Halim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sambutan Hari Kebangsaan Dan Hari Malaysia 2026 menjelaskan demikian susulan pertanyaan mengenai kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya pagi Isnin.
"Sehubungan itu, Urus Setia ingin menjelaskan bahawa berdasarkan pengesahan Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri, yang menguruskan jemputan bagi acara-acara rasmi utama Kerajaan Persekutuan, terdapat tatacara pengurusan jemputan yang berkuat kuasa bagi Sambutan Hari Kebangsaan.
"Walau bagaimanapun, kehadiran mana-mana bekas pemimpin tidak dihalang dan boleh diuruskan melalui permohonan pihak berkenaan, selaras dengan tatacara serta pengurusan jemputan rasmi yang ditetapkan," jelasnya dalam satu kenyataan.
Jelas Abdul Halim, pada masa sama, Urus Setia menerima makluman daripada Pejabat Perdana Menteri bahawa Tun Dr Mahathir akan ke luar negara dari 28 sehingga 31 Ogos 2026 berdasarkan permohonan Kemudahan Berehat ke Luar Negara yang telah diterima dan diluluskan Perdana Menteri.
Kelulusan itu ujarnya, selaras dengan ketentuan Saraan Bekas Perdana Menteri di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 [Akta 237], ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu, tular beberapa gambar dan video memaparkan kehadiran Dr Mahathir ke Dataran Putrajaya bersempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026 pada Isnin.