Sabah Memilih: Senarai Calon Rasmi Diumum, Kempen Pilihan Raya Bermula – Ikuti Berita Terkini dari Setiap Lokasi!
MALAYSIA

Hari Keluarga ATM: Perkukuh fahaman masyarakat terhadap benteng pertahanan negara

Astro Awani 16/11/2025 | 21:45 MYT
Penganjuran karnival dapat meningkatkan kebajikan warga tentera di samping mengeratkan hubungan antara anggota, keluarga dan masyarakat.
SEPANGGAR: Karnival Hari Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Pangkalan TLDM Sepanggar pada Ahad berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 4,300 anggota bersama keluarga, disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Di Kem Lok Kawi pula, lebih 3,000 anggota dan keluarga menyertai acara sama, selain 1,000 lagi yang mengambil bahagian di Zon Kota Belud sehari sebelumnya.

Karnival itu turut dimeriahkan dengan senamrobik, sukaneka, tarik tali, sukan memanah dan pelbagai aktiviti rakyat.

Khaled berkata, penganjuran karnival sebegini penting untuk meningkatkan kebajikan warga tentera di samping mengeratkan hubungan antara anggota, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya, pemahaman masyarakat terhadap tugas ATM juga perlu diperkukuh supaya keselamatan negara tidak dipandang ringan atau dipolitikkan.

Beliau menegaskan, perbezaan pendapat dalam masyarakat tidak boleh dibiarkan menular ke dalam ATM kerana ia mampu menjejaskan profesionalisme pasukan itu.



“Karnival ini platform untuk pastikan keluarga dan masyarakat faham peranan ATM… perbezaan pendapat kalau menular ke dalam angkatan tentera, ia akan beri cabaran besar kepada anggota melaksanakan tanggungjawab,” katanya.

Dalam masa sama, Khaled turut meninjau kemajuan beberapa perkara yang diputuskan dalam lawatan terdahulu, selain memantau aspek keselamatan di pangkalan tersebut.

“Lawatan ini membolehkan saya melihat perkembangan keputusan yang telah dibuat sebelum ini,” katanya lagi.

Khaled kemudian meneruskan tinjauan ke kawasan Operasi Balasah bagi melawat anggota yang bertugas di sempadan pedalaman Sabah kawasan penting dalam mengekang jenayah rentas sempadan serta mempertahankan kedaulatan negara.





#hari keluarga #ATM #warga tentera #Masyarakat