MALAYSIA

Hari Keselamatan Internet berlangsung di Tasik Titiwangsa hari ini

Bernama 08/02/2026 | 00:25 MYT
HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa, yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara, bertujuan mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijemput memeriahkan sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang berlangsung di Astaka Taman Tasik Titiwangsa hari ini dengan pelbagai aktiviti interaktif dan informatif.


Ringkasan AI
  • Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 di Astaka Taman Tasik Titiwangsa menawarkan panduan praktikal untuk cipta persekitaran digital yang selamat untuk anak-anak dengan tema "Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab".
  • Ibu bapa berpeluang mendapatkan bantuan teknikal dan nasihat pakar daripada MCMC bagi menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing serta penggunaan aplikasi kawalan.
  • Acara melibatkan perkongsian strategik daripada gergasi teknologi global seperti Meta, TikTok, dan Google bagi meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian, disertai dengan forum bersama personaliti media sosial, Ariz Ramli dan ahli panel lain.


Bertemakan "Teknologi Pintar, Pilihan Selamat: Penggunaan AI Secara Selamat dan Bertanggungjawab", acara anjuran Kementerian Komunikasi dan diterajui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu, menawarkan panduan praktikal bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk anak-anak.

Sambutan HKI 2026 bermula pada 7.30 pagi ini dengan ExploRace Hari Keselamatan Internet.

Selain itu, perkongsian strategik daripada gergasi teknologi global juga disediakan antaranya oleh Meta yang membincangkan Meta Teen Account dan alat kawalan ibu bapa, TikTok pula berkongsi cara memperkasakan ibu bapa menerusi ciri keselamatan dalam talian, manakala Google memberikan pendedahan mengenai pengaktifan kawalan ibu bapa yang lebih efektif.

Bagi ibu bapa, HKI ini pastinya peluang terbaik untuk mendapatkan bantuan secara langsung daripada pasukan teknikal dan pakar MCMC untuk menetapkan ciri keselamatan pada peranti masing-masing termasuk penggunaan aplikasi kawalan.

Kemuncak sambutan ialah perasmian HKI 2026 oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada 10.30 pagi ini seterusnya melancarkan Kempen Internet Selamat 2026.

Orang ramai juga berpeluang menyertai Forum Internet Selamat, Tanggungjawab Semua bermula 2 petang, dikendalikan oleh personaliti media sosial, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice.

Forum menampilkan ahli panel, termasuk Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) SAC Siti Kamsiah Hassan, Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Prof Madya Dr Mohd Al Adib dan Pengasas MN Amplified Marketing Muhammad Noor atau lebih dikenali sebagai Madnor.

Sepanjang sehari acara, pengunjung boleh meneroka pameran teknologi, menyertai pertandingan e-sukan atau menimba ilmu menerusi sesi Bicara Santai dan meninjau reruai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Sambutan hari ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan busking (hiburan jalanan) pada 12 tengah hari dan konsert mini pada 3.45 petang yang menampilkan artis popular seperti Kaka Azraff, Insomniacks, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ismail Izzani dan Leaism.

Selain majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video HKI 2026, pihak NADI juga akan mengadakan sesi interaktif khas mengenai cara melindungi diri daripada ancaman phishing (pancing data) dan penipuan dalam talian.

HKI 2026 diadakan sempena Hari Keselamatan Internet Antarabangsa, yang disambut setiap tahun di lebih 170 negara, bertujuan mempromosi penggunaan Internet yang selamat, bertanggungjawab dan positif khususnya dalam kalangan kanak-kanak serta golongan muda.

-- BERNAMA

#Taman Tasik Titiwangsa #Hari Keselamatan Internet #ExploRace #aktiviti interaktif