Hari Keselamatan Makanan Sedunia: Standard ditetapkan untuk mudahkan pengusaha makanan

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 7, 2023 06:26 MYT
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan makanan. - Gambar hiasan/Sinar Harian
KUALA LUMPUR : Sempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia yang disambut setiap 7 Jun, tema Food Standard Save Lives diangkat bagi menunjukkan betapa pentingnya standard sesuatu produk makanan ditetapkan bagi memastikan makanan yang diambil adalah selamat untuk dimakan.
Menurut Timbalan Pengarah Cawangan Standard dan Codex, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Faridah Malik, standard yang ditetapkan dalam industri makanan juga adalah untuk memudahkan pengusaha makanan mengimport dan mengeksport produk mereka.
“Kepada industri makanan sekiranya mereka mematuhi standard makanan yang ditetapkan, mudah bagi mereka untuk mengimport, mengeksport dan menjual produk makanan mereka di pasaran tempatan.
Selain itu mengapa tema ini diperkenalkan adalah untuk menggalakkan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam menghasilkan makanan yang selamat.
“Kemuncaknya adalah pengguna mendapat makanan yang selamat dengan pihak industri mematuhi keperluan makanan yang selamat seperti yang ditetapkanb dalam standard makanan,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan makanan.
Bagi peniaga atau pengendali makanan digalakkan untuk mengamalkan pengendalian makanan yang baik serta menitikberatkan aspek kebersihan.
Sebagai pengguna pula, anda disarankan untuk sentiasa amalkan lihat, hidu dan rasa sebelum makan.
Ikuti temu bual penuh menerusi pautan di bawah;
AWANI Pagi: Hari Keselamatan Makanan Sedunia
#KKM #Keselamatan makanan #pengusaha #produk makanan