SUNGAI BULOH: Semangat kemerdekaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, sebaliknya diterjemahkan menerusi kebersamaan rakyat dalam meraikan kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang menjadi kekuatan Malaysia.
Pengerusi Pertubuhan Jaringan Insan Madani (Perjim), Aidi Amin berkata, semangat kebersamaan itu yang menjadi asas kepada masyarakat Malaysia perlu terus disemarakkan, terutama ketika negara menyambut Bulan Kebangsaan dan menjelang Hari Malaysia.
Katanya, usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya terhad kepada kempen atau program tertentu, sebaliknya perlu diterapkan dalam kehidupan seharian menerusi interaksi dan aktiviti bersama masyarakat pelbagai latar belakang.
"Keharmonian kaum dan kehidupan sihat saling berkait kerana ketenangan jiwa serta kesejahteraan komuniti bergantung kepada kehidupan yang bebas daripada kebencian dan perpecahan.
“Setiap rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memelihara keharmonian dengan memperbanyakkan interaksi serta bersama membina komuniti yang lebih bersatu,” katanya selepas menyertai Muhibbah Ride, di sini, baru-baru ini,
Muhibbah Ride menghimpunkan lebih 250 peserta daripada pelbagai kumpulan berbasikal dalam kayuhan sejauh 73 kilometer di sekitar Paya Jaras dan Sungai Buloh.
Aidi berkata, aktiviti berkenaan turut membawa mesej bahawa masyarakat perlu terus bergerak ke hadapan bersama tanpa mengira perbezaan kaum, budaya dan agama.
"Dalam berbasikal, kita tidak boleh mengundur dengan mengayuh ke belakang. Begitu juga perjalanan kita sebagai sebuah negara, kita perlu terus bergerak ke hadapan dan sentiasa melihat ke hadapan walaupun berdepan pelbagai cabaran," katanya.
Beliau berkata, semangat persahabatan, kemesraan dan saling memahami antara masyarakat berbeza latar belakang perlu terus dipelihara bagi memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan bersatu.