Hari Malaysia sangat penting bagi Sarawak kerana ia membawa makna besar kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini, kata Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion.

Beliau berkata Sarawak adalah sebuah negeri yang dilihat sebagai model dengan tahap toleransi, penerimaan dan saling menghormati yang tinggi dalam kalangan masyarakat berlainan agama.

Berucap pada Program Perpaduan Antara Agama bersempena sambutan Hari Malaysia di sini, beliau berkata Sarawak adalah satu-satunya negeri yang mempunyai Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), berfungsi sebagai agensi kerajaan yang menjaga keperluan masyarakat bukan Islam.

Melalui unit ini, yang mencerminkan keutamaan Sarawak mengenai keterangkuman dan kepelbagaian, masyarakat dapat menyuarakan isu-isu berkaitan penilaian dan pembentukan dasar, undang-undang dan peraturan mengenai hal ehwal agama bukan Islam.

Jaul berkata UNIFOR bertindak sebagai titik fokus kepada pelbagai badan agama untuk berhubung dan berinteraksi dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan mengenai urusan permohonan tanah dan pembiayaan untuk pembinaan rumah ibadat, dan ia telah berkembang kepada aktiviti sosioekonomi.

"Sarawak bersyukur mempunyai UNIFOR yang menjaga kesejahteraan badan keagamaan bukan Islam di negeri ini termasuk Kristian, Buddha, Sikh, Hindu, Baha'i dan Taoisme," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri telah meningkatkan peruntukan kepada UNIFOR untuk membina, membaik pulih dan menaik taraf rumah ibadat daripada RM15 juta pada 2017 kepada RM20 juta pada 2018, RM30 juta pada 2019 dan RM50 juta pada 2020.

"Kerajaan negeri juga memperuntukkan 1.21 hektar tanah di Jalan Ong Tiang Swee di Kuching untuk pembinaan kompleks UNIFOR, yang akan menjadi pejabat tetap unit itu," katanya.

-- BERNAMA