IPOH: Orang ramai khususnya peminat warisan kini berpeluang mendalami sejarah antara masjid tertua di Ipoh, Masjid Paloh pada Hari Terbuka Masjid di Jalan Datoh yang diadakan Sabtu ini.

Jejak warisan yang julung-julung kali dianjurkan di masjid berusia lebih 100 tahun itu dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre.

Pihak penganjur juga menyediakan khidmat pemandu sejarah kepada pengunjung bagi mengetahui lebih lanjut berhubung reka bentuk serta sejarah masjid berkenaan.

Ia akan berlangsung tiga sesi iaitu pada jam 10 pagi, 11.30 pagi dan 1.30 petang manakala jamuan ringan juga disediakan kepada pengunjung, semuanya secara percuma.

Untuk makluman, Masjid Paloh yang dibuka pada tahun 1912 itu terletak di Jalan Datoh dan mempunyai hubung kait dengan kemajuan Ipoh sehingga menjadi bandar raya.

Ia bukan sekadar warisan Melayu di bandar raya ini, tapi juga simbol perpaduan golongan pembesar dan bangsawan orang Melayu sewaktu ketika dahulu.

Masjid Kampung Paloh yang dibina ketika pemerintahan Sultan Idris Murshidul Al-Azam Shah mempunyai seni bina unik yang mana ia melibatkan campuran unsur seni bina Melayu, Inggeris serta Jawa.

Jejak warisan yang julung-julung kali dianjurkan di masjid berusia lebih 100 tahun itu dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre. - Foto Islamic Tourism Centre

Tanah perkuburan di masjid itu juga merupakan persemadian Menteri Besar Perak yang pertama, Datuk Abdul Wahab Toh Muda Abdul Aziz serta kubur tertua yang di situ dipercayai milik Tok Paloh, individu yang membuka Kampung Paloh.

Kewujudan Masjid Paloh dan tanah perkuburan Islam di Jalan Bendahara juga menjadi salah satu bukti bahawa Kampung Paloh sinonim dengan masyarakat Melayu.

Menurut sejarah, pada zaman kolonial, Jalan Datoh termasuk Kampung Paloh dan Kampung Kuchai merupakan penempatan orang Melayu, dikenali sebagai Malay Settlement.