MALAYSIA

Hari Malaysia lambang tekad perpaduan dalam kepelbagaian - PM

Bernama 16/09/2025 | 07:05 MYT
Sambutan pada setiap 16 Sept memperingatkan rakyat akan keberanian generasi terdahulu yang menolak penjajahan, menegakkan maruah serta membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat. - Foto FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Hari Malaysia bukan sekadar memperingati detik bersejarah penyatuan wilayah berbeza latar dan budaya sebaliknya menjadi lambang tekad bangsa yang berpadu dalam kepelbagaian.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan Hari Malaysia melambangkan tekad bangsa berpadu dalam kepelbagaian, bukan sekadar memperingati penyatuan wilayah.
  • Anwar menyeru rakyat memperkukuh nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti, serta menolak perpecahan demi menjadikan Malaysia contoh kepemimpinan berwibawa di rantau ini.
  • Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai negara adil, makmur dan MADANI, diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negara bangsa yang teguh dan bermaruah.


Beliau berkata sambutan pada setiap 16 Sept memperingatkan rakyat akan keberanian generasi terdahulu yang menolak penjajahan, menegakkan maruah serta membina sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

"Negara ini ditegakkan dengan darah, keringat dan air mata generasi terdahulu yang membakar obor kebebasan. Walhasil, amanah yang dipikul kita hari ini adalah dalam memastikan obor itu terus menyemarak sebagai panduan kita menempuh tantangan di era baharu," katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata kekuatan Malaysia berakar daripada rakyat yang menjunjung nilai kemanusiaan, keadilan dan solidariti selain didukung institusi kenegaraan serta pentadbiran yang berwibawa.

Beliau berkata kerencaman budaya dan kepelbagaian masyarakat perlu terus diraikan sebagai rahmat yang memperkukuh persaudaraan.

"Mari bersama kita menzahirkan Hari Malaysia dengan memperkukuh iltizam dan cita murni, dan komited pada sebuah kerangka yang menjunjung maruah insan, menolak kebejatan, menjauhi perpecahan dan menjadikan negara ini contoh kepemimpinan yang berwibawa di rantau ini, dan di peringkat antarabangsa," katanya.

Anwar turut menegaskan Malaysia mesti terus dipertunjukkan sebagai sebuah negara yang adil, makmur dan MADANI, yang diwariskan kepada generasi akan datang sebagai negara bangsa yang teguh serta bermaruah.

-- BERNAMA




#Hari Malaysia #Anwar Ibrahim #berpadu dalam kepelbagaian #air mata generasi terdahulu #terkini