MALAYSIA

Hari Malaysia: Pekebun, jururawat kongsi kejayaan ‘Gerakan Bersama Malaysiaku’

Bernama 16/09/2025 | 21:45 MYT
Anwar menyampaikan hadiah kepada pemenang kempen Bersama Malaysiaku, Danken (tiga, kanan) pada Sambutan Hari Malaysia 2025 bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth, pada Selasa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Dua individu dari latar belakang berbeza melakar kenangan manis sempena sambutan Hari Malaysia 2025 apabila diumumkan sebagai pemenang utama pertandingan Gerakan Bersama Malaysiaku yang dianjurkan bersempena dengan sambutan itu.

Tempat pertama dimenangi pekebun dari Serian, Sarawak, Danken Philip, 56, yang membawa pulang sebuah kenderaan elektrik (EV) Proton e.Mas, manakala tempat kedua dimenangi jururawat Mazlina Badrunsaah, 36, dari Kuala Kangsar yang menerima sebuah Proton X70.

Danken yang tidak menyangka kisah hidupnya sebagai pekebun dipilih sebagai pemenang berkata, beliau sangat bersyukur dan berharap ia dapat membuka ruang lebih luas untuk suara pekebun kecil didengari.

"Perasaan sangat gembira, tak diduga, tak menyangka dapat kemenangan macam ni. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin kepada pekebun seperti kami.

"Saya berharap kemenangan ini menjadi ruang untuk suara-suara pekebun kecil didengari," katanya kepada Bernama selepas kemuncak Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, malam tadi.

Sementara itu, Mazlina yang berkhidmat di Klinik Desa Laneh, Kuala Kangsar, Perak berkata, pemilihannya sebagai pemenang tempat kedua merupakan satu rezeki yang tidak disangka.

"Perasaan itu memang tak sangka dan saya sangat bersyukur. Semoga saya terus dapat kekalkan komitmen dalam kerjaya saya sebagai jururawat dengan kemenangan ini," katanya.

Mengulas mesej perpaduan sempena Hari Malaysia, Mazlina berkata, kerjasama antara satu sama lain adalah kunci utama untuk bersatu padu dalam kalangan masyarakat majmuk.

Sementara itu, tempat ketiga pertandingan itu dimenangi mekanik Shakira Syafiq Othman dari Sarawak, membawa pulang motosikal Modenas.

Terdahulu, malam kemuncak sambutan Hari Malaysia 2025 diserikan dengan penyampaian hadiah kempen "Gerakan Bersama Malaysiaku" dengan tiga individu terpilih daripada ribuan rakyat yang menghantar foto penyertaan berserta kisah ringkas menggambarkan kehidupan masing-masing, sejak Julai lepas.

Menerusi "Gerakan Bersama Malaysiaku, ribuan rakyat telah menghantar foto berserta kisah ringkas yang menggambarkan kehidupan mereka, bukan sebagai tokoh ternama tetapi sebagai wira-wira negara.

Bertemakan "Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni" di Pusat Konvensyen PICCA@Arena di sini, sambutan Hari Malaysia 2025 disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mewakili Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

-- BERNAMA




#Hari Malaysia #Gerakan Bersama Malaysiaku #mesej perpaduan #Malaysia MADANI Rakyat Disantuni