MALAYSIA
Hari Malaysia: Pulau Pinang rakam penghargaan, ikrar beri kerjasama penuh
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil membuat kunjungan hormat pada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semasa melakukan lawatan kerja dua hari di negeri ini, hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana dipilih sebagai tuan rumah bagi Sambutan Hari Malaysia yang akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth dekat sini pada 16 Sept ini.
Ringkasan AI
- Pulau Pinang dipilih sebagai tuan rumah Sambutan Hari Malaysia 2025, yang akan berlangsung pada 16 September di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth, dan dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri.
- Kerajaan Negeri Pulau Pinang berikrar memberi kerjasama penuh, dengan penubuhan jawatankuasa induk serta 16 jawatankuasa kecil bagi memastikan kelancaran persiapan dan penganjuran acara.
- Pemilihan Pulau Pinang mencerminkan semangat kebersamaan Malaysia, dengan sambutan kini diadakan secara bergilir antara negeri-negeri di Semenanjung, selain Sabah dan Sarawak.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata sehubungan dengan itu, kerajaan negeri berikrar akan memberikan kerjasama yang penuh kepada kerajaan Persekutuan bagi menjayakan sambutan berkenaan.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dalam semangat Malaysia ini kerana Kabinet telah memutuskan untuk mengadakan sambutan Hari Malaysia bukan sahaja di Sabah dan Sarawak, tetapi juga bergilir-gilir antara negeri di Semenanjung.
"Jadi, kita mengalu-alukan dan berasa syukur Pulau Pinang dipilih dan pihak kerajaan negeri ialah anggota dalam jawatankuasa, justeru kita akan memberikan kerjasama yang penuh untuk menjayakan acara yang amat penting bagi negara ini, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025 bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil di bangunan Komtar, di sini hari ini.
Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, pengarah-pengarah, ketua dan pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Chow berkata Pulau Pinang bersiapa siaga untuk menjayakan sambutan berkenaan menerusi jawatankuasa induk dan jawatankuasa kerja yang mempunyai 16 jawatankuasa kecil di bawahnya yang akan bertanggungjawab bagi persiapan Hari Malaysia.
"Memandangkan masih ada tempoh yang panjang hingga 16 Sept, saya percaya jawatankuasa kerja dan jawatankuasa kecil akan meneruskan persiapan sehingga menyempurnakan acara ini," katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Fahmi yang dalam lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang mulai hari ini dan meluangkan masa kira-kira 30 minit.
Fahmi turut memaklumkan Sambutan Hari Malaysia 2025 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth dekat sini pada 16 Sept dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA