[TERKINI] AS Turunkan Tarif ke 19% Terhadap Malaysia – Semak Laporan Penuh Di Sini
NATIONAL

Hari Pekerja 2025: Henti amalan tindas pekerja, beri gaji bermaruah - PM Anwar

Faida Rahim 01/05/2025 | 04:10 MYT
Anwar (foto) ketika berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat kebangsaan di Axiata Arena Bukit Jalil, hari ini. -Astro AWANI/Shahir Omar
BUKIT JALIL: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan majikan di seluruh negara agar tidak menindas pekerja selain memberikan mereka gaji bermaruah.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan majikan agar tidak menindas pekerja dan memberikan gaji bermaruah.
  • Kerajaan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan, termasuk memperkenalkan gaji progresif selain gaji minimum.
  • Sambutan Hari Pekerja 2025 turut dimeriahkan dengan karnival Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs yang menawarkan 10,000 peluang pekerjaan daripada lebih 150 majikan.


Berucap pada sambutan Hari Pekerja 2025 peringkat kebangsaan yang diadakan di Axiata Arena Bukit Jalil pada Khamis, Anwar mengingatkan majikan bahawa pekerja wajar dihormati kerana mereka merupakan penyumbang terbesar kepada kemajuan negara.

“Seruan saya kepada pekerja, percayalah saudara tahu perkembangan negara ini mempunyai sejarah baik dan sejarah lemah, ada sejarah gemilang, ada sejarah rompakan. Kita pilih yang mana?

“Kita pilih gemilang, kita pilih hentikan amalan tindas pekerja, tamak haloba, naik gaji pekerja RM40 pun susah, ini apa jenis manusia (majikan),” katanya.

Tegas beliau, Kerajaan sentiasa meletakkan rakyat sebagai keutamaan termasuk membela nasib setiap pekerja.

“Tidak mudah nak dapat seorang perdana menteri yang menyuarakan begitu. Beruntung kerana tukang cuci, juruteknik, jurujual, semua pekerja diberi gaji munasabah.

“Selain gaji minimum, kita juga memperkenalkan gaji progresif. Ada orang kata kita bicara sahaja," kata Anwar lagi.

Dalam amanatnya, Anwar berpesan kepada semua golongan pekerja agar sentiasa bekerja dengan ikhlas dan tekun demi pembangunan bersama negara.

Sambutan Hari Pekerja 2025 itu turut dihadiri Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Sambutan turut dimeriahkan dengan karnival Ekspo Kerjaya Mega MYFutureJobs yang berlangsung sejak Isnin di pekarangan Axiata Arena di mana 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan daripada lebih 150 majikan dari seluruh negara.









#Anwar Ibrahim #gaji minimum #Sambutan Hari Pekerja 2025 #Steven Sim