NATIONAL
Hari Pekerja: Pemandu e-hailing ulangi tuntutan agar tambang lantai dinaikkan kepada RM8
Sebahagian pemandu e-hailing memegang plakad semasa Himpunan Hari Pekerja 1 Mei di Ibu Kota, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Persatuan pekerja E-Hailing mengulangi tuntutan agar kerajaan menguatkuasakan harga tambang lantai kepada RM8.
Ringkasan AI
- Persatuan pekerja e-hailing mendesak kerajaan menetapkan harga tambang lantai bagi memastikan pendapatan pemandu lebih setimpal dengan kos sara hidup yang meningkat.
- Kerajaan merancang membentangkan RUU untuk melindungi hak pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing, dalam sidang Parlimen akan datang.
- Pengerusi persatuan menyatakan tambang rendah dan persaingan antara syarikat e-hailing menjejaskan pendapatan pemandu, yang hanya memperoleh purata RM6 sejam.
Gerakan Badan Bertindak Sahabat E-Hailing Malaysia menyifatkan harga tambang minimum sebanyak RM5 pada masa ini sangat rendah.
Pengerusinya, Mohd Zulkifli Othman, 53, berkata dengan keadaan kos sara hidup dan inflasi yang meningkat harga tersebut tidak logik.
“Pendapatan pemandu e-hailing sebanyak RM6 (secara purata) setiap jam sangat rendah, contohnya tambang minimum RM4 di sesetengah tempat dan RM5 di Lembang Klang bagi tahun 2025,” katanya.
Malah Zulkifli berpendapat persaingan dalam beberapa syarikat e-hailing untuk menurunkan kadar tambang yang rendah menjadi risiko ke atas para pemandu yang bakal berdepan kerugian.
“Kita nak kerajaan menetapkan harga lantai supaya pemandu e-hailing dapat sedikit keuntungan, kita bukan minta harga yang terlalu tinggi
“Pemandu e-hailing bukan nak jadi jutawan tapi kita mahu diberi upah yang setimpal,” katanya lagi.
Zulkifli menyatakan tuntutan tersebut semasa ditemui media ketika Himpunan Hari Pekerja 1 Mei di sini, pada Khamis.
Media melaporkan kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) melibatkan pekerja gig pada sidang Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, kerajaan telah mendengar keluhan golongan gig sejak sekian lama menuntut perlindungan dan hak mereka sewajarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Pekerja 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil pada Khamis.