Hari Perikanan 2025 catat kehadiran lebih 17,000 pengunjung

Adnan berkata penglibatan komuniti secara langsung penting bagi memastikan kesinambungan sumber laut dan perikanan darat dapat dijaga bersama. - Gambar fail/BERNAMA
SUNGAI PETANI: Program Hari Perikanan (PHP) 2025 yang berlangsung tiga hari bermula 31 Okt lepas di Pantai Merdeka dekat sini, mencatatkan kehadiran lebih 17,000 pengunjung dengan nilai jualan keseluruhan hampir RM66,000.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata sambutan yang diterima menunjukkan kesedaran dan minat masyarakat yang semakin meningkat terhadap sektor perikanan sebagai sumber rezeki, peluang ekonomi serta aset semula jadi yang perlu dipelihara.
"Program ini bukan sekadar ruang untuk berhibur, tetapi platform mendekatkan masyarakat dengan usaha jabatan memperkukuh kelestarian sumber dan memperkenal inovasi baharu dalam industri perikanan.
"Penglibatan komuniti secara langsung penting bagi memastikan kesinambungan sumber laut dan perikanan darat dapat dijaga bersama," katanya menerusi kenyataan media semalam.
Menurutnya, PHP 2025 merupakan kesinambungan penganjuran julung kali pada 2024 di Putrajaya dan diteruskan tahun ini dengan objektif meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan sumber perikanan serta peranan industri itu dalam menyokong keterjaminan makanan negara.
"Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang tiga hari penganjuran termasuk pameran interaktif, reruai jualan, Fun Run and Fun Walk, sukan rakyat, pertandingan mewarna dan aktiviti komuniti yang menekankan mesej kelestarian dan tanggungjawab terhadap sumber perikanan negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


