[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Hari Persatuan MyCEB 2025: Perkukuh masa hadapan perniagaan Malaysia

Malekah Aisyah 01/05/2025 | 04:00 MYT
Khairul Firdaus (tengah) dan Sivakumar (tiga dari kiri) bersama tokoh industri yang dilantik sebagai Kesatria Malaysia untuk Acara Perniagaan Antarabangsa, di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. - Foto MyCEB
KUALA LUMPUR: Biro Konvensyen & Pameran Malaysia (MyCEB) menganjurkan Hari Persatuan MyCEB 2025 dan Majlis Induksi Kesatria Malaysia di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Timbalan Menteri Pelancongan Kesenian dan Budaya (MOTAC), Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata, program yang bertemakan 'Kekuatan Acara Perniagaan Melalui Persatuan' ini menyoroti peranan Acara Perniagaan dalam landskap ekonomi Malaysia.
“Acara perniagaan lebih daripada sekadar perjumpaan, ia adalah pemacu ekonomi yang membawa pelaburan bernilai tinggi, memupuk pertukaran pengetahuan, dan meningkatkan reputasi global Malaysia,” katanya menerusi kenyataan di sini.
“Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencapai 5.9 peratus dan nilai perdagangan melebihi RM2.139 trilion dalam 9 bulan pertama 2024, tumpuan berterusan kami pada sektor ini akan meletakkan negara sebagai pusat Acara Perniagaan Antarabangsa yang diutamakan,” ujarnya.
(Dari kiri) Mohammad Isa (Pengarah Insentif Mesyuarat & Sokongan) dan Zain Azrai Rashid (Pengarah Kanan Hal Ehwal Korporat) bersama barisan Kesatria Malaysia. - Foto MyCEB
Salah satu sorotan majlis adalah pengenalan duta baharu Program Kesatria Malaysia, sebuah inisiatif oleh MyCEB. Program ini melibatkan pemimpin industri terkemuka untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi tuan rumah bagi Acara Perniagaan Antarabangsa.
Peranan Kesatria adalah untuk mempromosikan kelebihan menjadi tuan rumah dan memulakan konvensyen antarabangsa di Malaysia kepada rakan-rakan sejawat mereka dalam pasaran persatuan.
Sejak penubuhannya, Program Kesatria Malaysia berjaya mengendalikan 98 Acara Perniagaan Antarabangsa, menyumbang kira-kira RM1.58 bilion dalam impak ekonomi dan menarik 123,991 delegasi ke Malaysia.
Sementara itu, Pengerusi MyCEB, Sivakumar A/L Varatharaju Naidu, menekankan kepentingan kerjasama industri dalam memajukan agenda ekonomi Malaysia.
“Malaysia berada dalam aliran pertumbuhan yang kukuh, dengan nilai perdagangan yang dijangkakan melebihi RM2.5 trilion pada 2025. Acara perniagaan memainkan peranan penting dalam kejayaan ini, sebagai pemangkin pembangunan ekonomi dan inovasi industri.”
“MyCEB tetap komited untuk bekerjasama dengan persatuan dan pemegang kepentingan utama untuk mencapai visi kami menjadikan Malaysia sebagai salah satu daripada lima kuasa Acara Perniagaan teratas di kawasan Asia Pasifik menjelang tahun 2030,” jelasnya.
(Empat dari kiri) Tan Mei Phing (Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif) dan pengurusan tertinggi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bersama barisan tokoh industri. - Foto MyCEB
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Phing, menegaskan komitmen biro tersebut terhadap pertumbuhan industri.
“Persatuan adalah tulang belakang industri Acara Perniagaan, dan melalui Hari Persatuan MyCEB, kami bertujuan untuk memberdayakan pemimpin persatuan dengan alat dan pandangan yang diperlukan untuk membawa acara antarabangsa berimpak tinggi ke Malaysia,” jelasnya.
Majlis berkenaan menampilkan senarai sesi dinamik dan peluang jaringan termasuk perbincangan panel berhubung tren industri, strategi pertumbuhan untuk persatuan, dan masa hadapan Acara Perniagaan di Malaysia.
#MyCEB #Hari Persatuan MyCEB 2025 #Majlis Induksi Kesatria Malaysia #MOTAC