MALAYSIA

Hari pertama persekolahan SJKC Ladang Regent Elmina meriah, AI jadi tarikan utama

Faida Rahim 12/01/2026 | 01:00 MYT
Dr Shifa berkata, dia seronok apabila anak sulungnya, Uzayr Khalis, 7 memulakan hari pertama persekolahan di sekolah ini yang terletak berhampiran kediamannya.- Gambar Astro AWANI
SHAH ALAM: Suasana hari pertama sesi persekolahan tahun 2026/2027 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ladang Regent, Elmina meriah pada Isnin dengan kehadiran ibu bapa dan penjaga yang mengiringi anak-anak mereka seawal 6.30 pagi.

Hari ini juga merupakan hari pertama sekolah ini dibuka selepas dipindahkan dari Gemencheh, Negeri Sembilan.

Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, reaksi ibu bapa murid tahun satu menarik perhatian ramai apabila ramai yang kelihatan teruja melihat anak tersayang memasuki alam persekolahan.

Dr Shifa Zulkifli berkata, dia seronok apabila anak sulungnya memulakan hari pertama persekolahan di sekolah ini yang terletak berhampiran kediamannya.

"Saya tinggal berhampiran sini. Senang ulang alik, dekat. Anak tak menangis, Alhamdulillah, dia seronok," katanya

Dalam masa sama, Uzayr Khalis, 7, yang memasuki darjah satu hari ini berkata, dia seronok ke sekolah dan tidak berasa takut.

"Best, tak takut. Saya dapat kawan baharu, ” katanya.

Naim Yusoff, 38, seorang suri rumah berkata, dia dan suami, Dzulshahimie seronok apabila anak sulungnya memulakan hari pertama persekolahan di sekolah ini yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman mereka.


Naim Yusoff, 38, seorang suri rumah berkata, dia dan suami, Dzulshahimie seronok apabila anak sulungnya memulakan hari pertama persekolahan di sekolah ini yang terletak kira-kira lima kilometer dari kediaman mereka.

Tambahnya lagi, keterujaan itu membuatkan dia sukar tidur pada malam sejak semalam.

“Ini satu langkah dan fasa baharu buat satu-satunya anak kami. Kami bertiga tak dapat tidur malam semalam kerana terlalu gembira memikirkan hari pertamanya di sekolah,” katanya.

Naim juga berkata, dia memilih SJKC kerana percaya dengan kualiti yang terbaik sekolah ini untuk masa depan anaknya.

“Kami harap dia dapat menyesuaikan diri dengan baik,” katanya.

Anak lelakinya, Iyas Dzulshahimie, 7, memaklumkan, teruja bangun pagi untuk ke sekolah pagi ini dan seronok kerana dapat mengenali rakan baharu.

“Excited! (Teruja). Waktu hari orientasi dah ada kawan baru, tapi tak tahu nama lagi,” katanya.

Pengerusi pengelola SJKC Ladang Regent, Elmina, Datuk Azman Ching menekankan sekolah itu menjadi perintis dalam penggunaan teknologi terkini melalui sistem penyeliaan berasaskan kecerdasan buatan (AI).

“Dengan sistem AI, guru dapat menerima laporan segera selepas sesi pengajaran mengenai kekuatan dan kelemahan mereka.

“AI juga membantu mengesan isu seperti buli lebih awal sebelum menjadi serius. Sistem ini sebelum ini dibangunkan dalam bahasa Mandarin, namun kini kita sesuaikan dengan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris agar lebih inklusif,” katanya.

Beliau menambah, pendekatan itu diyakini mampu meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran tanpa perlu menunggu pengalaman bertahun-tahun daripada guru.

“Jika AI mendapati seorang guru berkesan, data tersebut boleh dijadikan panduan kepada guru baharu untuk terus meningkatkan mutu pendidikan,” ujarnya.

Sementara itu, Azman berharap usaha ini akan menjadikan sekolah itu sebagai sekolah rintis yang berjaya menggabungkan teknologi moden dengan sistem pendidikan pelbagai kaum, sekali gus memperkukuh kualiti pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan timbalan beliau, Wong Kah Wong turut hadir bagi meninjau hari pertama pembukaan sekolah ini.








#Fadhlina Sidek #kecerdasan buatan #Sekolah Jenis Kebangsaan Cina SJKC Ladang Regent Elmina #Datuk Azman Ching