NATIONAL

Hari Polis ke-218: Kepada PDRM disandarkan harapan, pastikan Malaysia kekal aman

Firdaus Azil 28/03/2025 | 09:09 MYT
Sudah pasti pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu perlu diteliti oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Gambar hiasan
MEMETIK kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 baru-baru ini - Malaysia adalah negara yang cukup bertuah.
Malaysia negara yang bertuah kerana pertumbuhan, kekuatan ekonomi, keyakinan pelabur dan pengurusan kerangka dan prakasa ekonominya, semuanya terurus kerana keamanan yang tercapai.
Dan keamanan itu, kata Perdana Menteri, mana mungkin tercapai tanpa jasa dan perkhidmatan polis, yang sejarahnya cukup panjang, bermula dari 1807 hingga kini, dan dari zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga ke Kerajaan MADANI.
Bagaimanapun beliau turut memberi amaran, tatkala negara dirasakan aman dan rakyat serta kepimpinan lebih fokus mengejar kemajuan, ancaman tetap ada dan rakyat perlu sentiasa berwaspada.
“.. tanpa sedikit pun mengingatkan bahawa ini tidak berlaku dengan sendirinya. Keadaan geopolitik tidak menentu, negara-negara ASEAN... sering saya katakan di antara rantau yang paling aman.
“Pemacuan dan kepesatan pertumbuhan ekonomi jauh lebih meyakinkan ketimbang rantau lainnya, tetapi rantau ini mempunyai sejarah tersendiri. Hidup dan berkembang dalam pembenturan (konflik) dua ideologi, perseteruan kuasa-kuasa besar, yang meletakkan kita dalam keadaan cemas dan harus terus berwaspada,” katanya lagi.
VUCA dalam konteks negara
Pesanan keras Perdana Menteri itu, menurut pandangan pemerhati, terkait dengan konsep VUCA, yang pertama kali diperkenalkan oleh US Army War College pada akhir 1980-an untuk menggambarkan dunia yang semakin kompleks selepas Perang Dingin.
Secara ringkasnya VUCA bermaksud volatility (ketidakstabilan), uncertainty (ketidakpastian), complexity (kerumitan), dan ambiguity (kesamaran). Dan setiap satu elemen ini boleh dicerapkan dalam situasi yang melanda negara dan dunia.
Seperti yang Presiden Kingsley Strategic Institute, Tan Sri Michael Yeoh pernah cadangkan dalam cebisan pandangan beliau pada 2019, Malaysia perlu menelusuri lima teras utama untuk mengharangi dunia VUCA - polisi makro ekonomi; pembangunan inklusif; pewujudan peluang pekerjaan; pembangunan keusahawanan; dan kepimpinan yang beretika.
Namun jika tiada keamanan dan kestabilan dalam negara, mampukan semua usaha berkaitan dijalankan dengan lancar? Jika dunia sedang bergelodak dan bergolak dengan isu geopolitik, perang dagang dan fahaman yang pelbagai, mampukan Malaysia menghadapinya?
Dunia sedang memerhati kesan berganda akibat kedegilan dan polisi Make America Great Again (MAGA) Donald Trump, perancangan licik pemimpin ISIS Abu Hafs al-Hashimi al-Qurashi, sikap keras kepala Vladimir Putin dan Volodymyr Zelenskyy. Apakah Malaysia boleh menampannya?
Cabaran dalaman yang harus didepani negara
Memasuki tahun ke-218 sejak penubuhannya, peranan Sang Saka Biru semakin lama semakin bertambah, dengan perubahan jenayah di Malaysia menunjukkan beberapa trend yang membimbangkan, dan sudah pasti mendambakan perhatian yang lebih serius.
Kita bercakap tentang pencerobohan bot nelayan Vietnam, kemasukan pendatang tanpa izin, dan aktiviti penyeludupan.
Kita bercakap tentang 5,368 kes penipuan melibatkan kerugian RM1.6 bilion dilaporkan pada tahun 2024, dengan modus operandi melibatkan panggilan telefon palsu, mesej penipuan, dan pelaburan palsu yang menjanjikan pulangan tinggi.
Juga berdasarkan Perangkaan Jenayah 2024, jumlah kes jenayah indeks yang dilaporkan meningkat sebanyak 11.1 peratus atau 5,811 kes tahun lalu berbanding 52,444 pada 2023, membabitkan kesalahan kategori kekerasan seperti bunuh, rogol, samun tanpa senjata api (STSA), samun berkawan tanpa bersenjata api, samun bersenjata api, samun berkawan bersenjata api dan mencederakan.
Risikan berterusan, pastikan ancaman ditangani segera
Tanpa menidakkan peranan jabatan lain, Cawangan Khas PDRM terus memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan negara, seperti pengumpulan maklumat dan risikan; penyelidikan dan analisis; serta merancang operasi pencegahan dan penguatkuasaan.
Lebih dikenali sebagai SB atau Special Branch, peranan utamanya adalah mengumpul dan memproses maklumat risikan keselamatan untuk memelihara undang-undang dan ketenteraman awam serta mengekalkan keamanan dan keselamatan Malaysia.
Selain itu, jabatan ini menjalankan penyelidikan dan analisis terhadap maklumat yang diperoleh untuk mengenal pasti ancaman keselamatan dan memberikan nasihat kepada pihak berkuasa mengenai langkah-langkah yang perlu diambil.
Tidak ketinggalan, peranannya dalam melakukan kerjasama strategik dengan agensi risikan dan keselamatan tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi maklumat dan strategi dalam menangani ancaman keselamatan global.
Turut dilihat amat signifikan, peranannya dalam memastikan keselamatan dalam negeri dengan memantau aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara, termasuk kegiatan pengganas dan ekstremis.
Barangkali Cawangan Khas yang kini diterajui Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, boleh berbangga apabila terdapat beberapa pengarah mereka yang lepas, telah diiktiraf kemampuan dalam mengemudi jabatan tersebut, sehingga diangkat mengepalai pasukan PDRM.
Terima kasih atas jasa bakti dan pengorbanan mereka, antaranya Tan Sri Hamid Bador (2019), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (2017), Tan Sri Norian Mai (1999), Tan Sri Abdul Rahim Noor (1994), dan Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar (1974).
Sang Saka Biru peneraju keamanan negara
Menjelang Jun ini, umum mengetahui Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain @ Abdul Rashid akan tamat tempoh perkhidmatannya.
Lebih dikenali sebagai Razer, beliau diperkenan untuk menjawat jawatan tersebut pada 2023, menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Selain itu Astro AWANI difahamkan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman juga bakal menyaksikan perubahan pimpinan secara besar-besaran apabila sebahagian besar pengarah jabatan dan pegawai kanan telah, dan akan menamatkan tempoh perkhidmatan mereka pada tahun ini.
Antara yang sudah pun bersara pada tahun ini ialah bekas Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah, bekas Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Datuk Seri Hazani Ghazali, bekas Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Yusuff, dan Timbalan Pengarah Pengurusan (Bahagian Dasar Sumber Manusia) Datuk Mohd Roze Shaari.
Namun jika dilahir barisan pegawai kanan seterusnya, sesuatu yang tidak boleh dipertikai ialah PDRM sentiasa mempunyai pelapis kepimpinan yang sedia memikul tugasan yang cukup berat, iaitu memastikan Malaysia terus kekal aman dan makmur.
Sudah pasti pelantikan Ketua Polis Negara yang baharu perlu diteliti oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SSP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Dan akhirnya ia perlu melalui penelitian penuh bijaksana dan perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Yang Dipertua Kehormat Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selamat Hari Polis ke-208, dan semoga terus memegang teguh prinsip - Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.
#Hari Polis #Ketua Polis Negara #cawangan khas #rombakan pasukan