MALAYSIA
Hari Sarawak simbol jati diri, bukti keupayaan anak tempatan - Dr Jeniri

Jeniri menyifatkan dasar-dasar progresif yang diperkenalkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, termasuk pendidikan percuma bermula tahun hadapan, sebagai langkah transformasi menyeluruh ke arah kemajuan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai setiap tahun bukan sekadar memperingati detik bersejarah pengambilalihan pentadbiran negeri oleh anak tempatan, malah menjadi simbol jati diri dan kebolehan rakyat Sarawak memimpin negeri sendiri.
Penganalisis politik dan Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr Jeniri Amir berkata, inisiatif mengisytiharkan 22 Julai sebagai Hari Sarawak oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem adalah manifestasi keyakinan terhadap kemampuan rakyat Sarawak untuk menentukan hala tuju negeri secara berdikari.
“Motivasi utama pengisytiharan Hari Sarawak adalah untuk menunjukkan bahawa anak Sarawak mampu memerintah sendiri, seperti yang berlaku pada 22 Julai 1963. Mereka memiliki bakat, kemahiran, ketokohan dan keupayaan memacu kemajuan negeri.
"Hari Sarawak juga menjadi ruang penting untuk memberi penghargaan kepada tokoh-tokoh perjuangan kemerdekaan negeri termasuk Tuan Abang Openg, Stephen Kalong Ningkan dan pemimpin awal lain yang telah membuka jalan kepada autonomi pentadbiran negeri," katanya semasa program Pantau Agenda AWANI pada Selasa.Pada masa sama, beliau menekankan, kekuatan Sarawak hari ini bukan hanya terletak pada sumber ekonomi, tetapi pada keutuhan identiti budaya pelbagai suku kaum yang masih kekal meskipun berdepan kemodenan.
“Di Sarawak, lebih 30 suku kaum terus mempertahankan jati diri mereka, dari segi budaya, bahasa dan amalan sekali gus menjadikan patriotisme di sini bukan sekadar politik, tetapi juga kebudayaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jeniri menyifatkan dasar-dasar progresif yang diperkenalkan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, termasuk pendidikan percuma bermula tahun hadapan, sebagai langkah transformasi menyeluruh ke arah kemajuan.
Beliau berkata, kemampuan Sarawak untuk menyediakan pendidikan percuma melalui universiti milik kerajaan negeri memperlihatkan kekuatan fiskal dan visi masa depan yang kukuh.
“Dengan belanjawan negeri tertinggi mengatasi negeri-negeri lain, Premier Sarawak menunjukkan keberanian dasar melalui penekanan kepada pendidikan, infrastruktur, ekonomi digital dan pembangunan luar bandar,” katanya.
Jeniri turut menyeru agar anak-anak muda Sarawak yang melanjutkan pelajaran ke luar negeri atau ke Semenanjung untuk mempertimbangkan kembali ke tanah air sendiri dan menyumbang ke arah pembangunan negeri.
“Kita tidak mahu lagi dengar alasan ‘tiada peluang di Sarawak’. Dengan segala inisiatif dan transformasi yang berlaku sekarang, sudah tiba masanya anak muda Sarawak pulang dan membina negeri sendiri dalam bidang yang mereka kuasai,” katanya.
Katanya, semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda harus disuburkan dengan kefahaman sejarah, penghargaan terhadap pemimpin terdahulu serta kesedaran terhadap realiti geopolitik yang mencorakkan pembentukan Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami