Hari Statistik Negara 2025 gegar Pantai Timur, DOSM suntik kepentingan data

Penyerahan Piala Pusingan Debat Statistik IPT oleh wakil Juara 2024, Muhammad Luqman Hasan (UTP) kepada Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin sebagai simbolik pelancaran pertandingan. - Foto DOSM
LIPIS: Data bukan sekadar angka kerana ia menjadi nadi kehidupan yang membantu kerajaan, komuniti dan rakyat memahami realiti sebenar pembangunan negara.
Ringkasan AI
- Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 (HSN 2025) akan berlangsung pada 17-19 Oktober di Lipis, Pahang dengan tema -Statistik Nadi Kehidupan-, meraikan ulang tahun ke-9 HSN dan Hari Statistik Sedunia.
- Sambutan ini bertujuan memupuk budaya celik statistik dalam kalangan rakyat serta menekankan peranan data dalam pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat selaras aspirasi Malaysia MADANI.
- Pelbagai program menarik seperti literasi statistik, debat IPT, datathon, forum, sukan rakyat dan CSR akan diadakan bagi mendekatkan masyarakat kepada statistik secara santai dan interaktif.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, sambutan ini menjadi wadah penting untuk memupuk budaya celik statistik dalam kalangan rakyat.
“HSN mencerminkan komitmen DOSM untuk membudayakan statistik dalam kehidupan seharian masyarakat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan sejagat, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” katanya.
Beliau turut menambah, sambutan ini juga menjadi platform memperluas kefahaman masyarakat mengenai peranan statistik dan fungsinya dalam dasar pembangunan negara.
“Kita ingin meningkatkan kesedaran bahawa statistik bukan sekadar data ekonomi atau bancian, tetapi asas utama kepada keputusan berasaskan bukti.
“Statistik memainkan peranan penting dalam semua aspek kehidupan, dari perancangan pendidikan hingga pembangunan komuniti,” jelasnya.
Sambutan HSN 2025 akan diadakan di Dewan Terbuka Laman Sejahtera, Sungai Koyan 1, dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Lipis dipilih sebagai lokasi utama kerana daerah itu diiktiraf sebagai ‘Antara Bandar Paling Bahagia di Malaysia’ berdasarkan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024 yang dikeluarkan DOSM sekali gus menjadi simbol sejajar dengan tema kesejahteraan rakyat dan statistik sebagai nadi kehidupan.
“Lipis melambangkan keharmonian dan kesejahteraan komuniti luar bandar. Ini selari dengan mesej bahawa statistik bukan hanya milik bandar, tetapi juga milik rakyat di semua peringkat,” ujarnya.

Sekitar Majlis Perasmian Pertandingan Debat Statistik Antara IPT Siri Ke-4 2025 sempena Hari Statistik Negara, disempurnakan oleh Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin di Institut Latihan Statistik Malaysia, Sungkai. - Foto DOSM
Antara program menarik yang dirangka termasuk Sesi Literasi Statistik bersama Komuniti, Karnival Kerjaya, Debat Statistik IPT, Datathon, Forum Perdana Ehwal Islam, Sukan Rakyat serta program CSR dan kesihatan.
“Kita mahu rakyat mendekati data dengan cara yang lebih santai dan interaktif. Aktiviti-aktiviti ini mengetengahkan produk jabatan serta memperlihatkan bagaimana statistik memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian,” tambahnya lagi.
Selain itu, sambutan kali ini turut memberi pengiktirafan kepada ahli statistik di seluruh negara yang menjadi tunjang kepada data rasmi kerajaan.
“Sambutan HSN bukan hanya untuk meraikan angka, tetapi menghargai individu di sebalik data mereka yang memastikan maklumat yang disampaikan tepat, boleh dipercayai dan relevan untuk semua,” kata beliau.

Sekitar Sesi Kick-Off Hari Statistik Negara 2025 dan Program Fit DOSM Zon Selatan anjuran DOSM Melaka di Taman Botanikal Melaka, yang turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, bersama Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin. - Foto DOSM
Sambutan Hari Statistik Negara dan Sedunia 2025 bukan sekadar acara tahunan malah menjadi simbol bagaimana data yang tepat mampu membentuk keputusan, dasar dan masa depan lebih sejahtera untuk rakyat Malaysia.
Jangan lepaskan peluang keemasan ini dan ayuh sama-sama kita memeriahkan sambutan HSN 2025! Pelbagai aktiviti menarik menanti anda.
Untuk maklumat lanjut mengenai sambutan HSN 2025, layari portal rasmi dan media sosial DOSM seperti yang tertera:
- Portal Rasmi DOSM: www.dosm.gov.my
- Facebook: Department of Statistics Malaysia / Hari Statistik Negara / DOSM
- X (Twitter): @StatsMalaysia
- Instagram: @StatsMalaysia
- TikTok: @StatsMalaysia
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami