MALAYSIA

Hari Statistik Negara 2025 warnai Pahang, DOSM tekad jadikan statistik nadi kehidupan rakyat

Malekah Aisyah 19/10/2025 | 06:50 MYT
Antara sorotan utama Sambutan Hari Statistik Negara 2025 (HSN 2025) ialah Pertandingan Pengucapan Awam Statistik Sekolah Menengah di SMK (FELDA) Sungai Koyan. - Foto DOSM
LIPIS: Statistik bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya nadi kehidupan dan asas kemajuan negara.


Ringkasan AI
  • Statistik bukan sekadar angka di atas kertas, sebaliknya nadi kehidupan dan asas kemajuan negara. Itulah semangat yang diangkat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2025, yang berlangsung di Sungai Koyan, Pahang bermula 17 hingga 19 Oktober.
  • Sambutan bertemakan "Statistik Nadi Kehidupan" itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu platform untuk mendekatkan statistik kepada rakyat agar data bukan lagi sesuatu yang rumit, tetapi mudah difahami dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.
  • Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pemilihan Sungai Koyan sebagai lokasi penganjuran melambangkan komitmen DOSM untuk menjadikan statistik milik semua dari bandar ke desa.


Itulah semangat yang diangkat Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Sambutan Hari Statistik Negara (HSN) 2025, yang berlangsung di Sungai Koyan, Pahang bermula 17 hingga 19 Oktober.

Sambutan bertemakan “Statistik Nadi Kehidupan” itu bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu platform untuk mendekatkan statistik kepada rakyat agar data bukan lagi sesuatu yang rumit, tetapi mudah difahami dan dimanfaatkan dalam kehidupan seharian.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, berkata pemilihan Sungai Koyan sebagai lokasi penganjuran melambangkan komitmen DOSM untuk menjadikan statistik milik semua dari bandar ke desa.

“Kali ini zon Pantai Timur. Kita ada kerjasama dengan kerajaan negeri, kita putuskan untuk kita laksanakan di Sungai Koyan dan memang bertepatan hasrat kami untuk melaksanakan program berprestij di peringkat kebangsaan ini.

“Apa yang kita buat ialah kita bawa pelajar universiti dan juga pelbagai dimensi ke satu kawasan untuk mereka tengok sendiri bagaimana sesuatu kawasan itu berdasarkan data dan statistik nyata,” katanya.

Mohd Uzir (gambar) ketika sesi Datathon bersama para hadirin yang mengambil bahagian. - Foto DOSM


Menurut beliau, sambutan tahun ini turut menampilkan pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk Forum Perdana Hal Ehwal Islam bertemakan “AI dan Statistik: Nikmat untuk Ummah”, yang membincangkan peranan data dan kecerdasan buatan dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat.

Antara pengisian lain adalah Stats Fun Walk, senamrobik, pameran interaktif, pertandingan memasak tradisional, serta pelbagai aktiviti komuniti yang melibatkan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Mohd Uzir turut berkongsi pencapaian membanggakan Malaysia di peringkat global.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Malaysia telah dinobatkan di kedudukan nombor satu di dunia dari segi kewujudan data rasmi yang begitu banyak, accessibility, dan juga keterbukaan data kita. Kita ada platform digital yang begitu banyak termasuk OpenDOSM.

“Dan kita sebenarnya antara negara yang pertama di dunia menghasilkan Kalkulator Jangka Hayat yang kita boleh lihat bagaimana kalkulator itu boleh dimanfaatkan untuk orang ramai termasuk dari segi kesedaran kesihatan awam,” tambahnya.

Beliau menambah, inisiatif seperti Kalkulator Jangka Hayat dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW) dibangunkan bagi membantu rakyat menilai tahap kesihatan dan kos sara hidup berasaskan data sebenar.

Sambutan HSN 2025 turut disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sebagai simbol sokongan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan berasaskan data.

Bagi Mohd Uzir, statistik adalah panduan penting untuk memahami realiti masyarakat, merancang dasar dan memastikan kemakmuran negara dikongsi secara inklusif.

“Maknanya dengan adanya statistik yang baik, keperluan ke hadapan tu telah dirancang menyebabkan bila perlu kelahiran, hospital dah ada. Bila perlu persekolahan, sekolah sudah ada. Sekarang pula kita perlu melihat peluang pekerjaan di satu kawasan.

“Dekat sinilah peranan DOSM menghasilkan statistik granular di peringkat ekonomi kawasan,” ujarnya.

DOSM juga tekad untuk terus memperkukuh kedudukannya di peringkat antarabangsa termasuk menjadi tuan rumah kepada 15th Session of the ASEAN Community Statistical System Committee (ACSS15) 2025, selain meneruskan pelaksanaan Banci Ekonomi Malaysia 2026 bagi memantapkan lagi data ekonomi nasional.

Mohd Uzir (tengah) ketika sesi beramah mesra bersama pelajar-pelajar di SMK (FELDA) Sungai Koyan. - Foto DOSM


Sambutan kali ini bukan sekadar bentuk untuk meraikan statistik, tetapi bagi menegaskan setiap angka membawa cerita kehidupan rakyat dari tahap kebahagiaan di Lipis, hingga ke jangka hayat dan kesejahteraan seluruh negara.


#DoSM #Sambutan Hari Statistik Negara 2025 #Pahang #data #statistik