[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Hari TVET Negara 2025: TVET kini sebahagian besar strategi ekonomi negara - Ahmad Zahid

Firdaus Azil 05/06/2025 | 06:17 MYT
Ahmad Zahid berkata, dunia sedang menyaksikan satu perubahan besar, iaitu TVET tidak lagi berada di pinggiran, dan ia kini berada di tengah-tengah strategi ekonomi negara. - Bernama
KUALA LUMPUR: Malaysia terus giat untuk menjadi hab terkemuka bagi penghasilan tenaga kerja yang berpengetahuan tinggi dalam bidang pendidikan latihan teknikal, vokasional dan kejuruteraan (TVET), setidak-tidaknya di peringkat ASEAN.

Ringkasan AI
  • Malaysia sebagai pusat TVET ASEAN: Malaysia sedang membangunkan pusat kecemerlangan dan pensijilan TVET yang diiktiraf di peringkat serantau, dengan kerjasama institusi pendidikan antarabangsa dan pemain industri.
  • Transformasi TVET sebagai laluan utama kerjaya: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi kini menjadi strategi utama ekonomi negara, dengan peningkatan ketara dalam kadar kemasukan pelajar.
  • Hari TVET Negara 2025 dan peluang masa depan: Malaysia akan menganjurkan Hari TVET Negara 2025 dari 11 hingga 13 Jun di Melaka, menawarkan demonstrasi kerjaya, sesi temuduga segera dengan syarikat multinasional, serta peluang latihan kemahiran untuk rakyat Malaysia dan ASEAN.

Komitmen itu terus dipegang dan dibawa oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa TVET Negara, baik di peringkat domestik, mahupun di setiap lawatan antarabangsa yang beliau lakukan.
Terbaharu, sewaktu menyampaikan syarahan awam di University College London (UCL) sempena lawatan kerjanya ke United Kingdom, Ahmad Zahid berkata, dunia sedang menyaksikan satu perubahan besar, iaitu TVET tidak lagi berada di pinggiran, dan ia kini berada di tengah-tengah strategi ekonomi negara.
“Revolusi Industri Keempat telah memaksa setiap negara untuk membayangkan semula bagaimana kita mempersiapkan rakyat kita untuk masa depan pekerjaan. Dalam perlumbaan global untuk kekal relevan, kemahiran adalah mata wang baharu. Dan mereka yang melabur dalam bakat yang praktikal, mudah menyesuaikan diri, dan berimpak tinggi bukan sahaja akan bertahan — mereka akan memimpin.
“Namun perjalanan ini tidak selalu mudah. Selama bertahun-tahun, TVET telah disalah faham — dilihat sebagai pilihan terakhir dan bukan laluan yang bermatlamat. Persepsi itu kini sedang berubah, tetapi kita harus jujur bahawa cabaran masih wujud.
“Stigma yang berterusan bahawa TVET adalah “kelas kedua” masih mempengaruhi keputusan pendaftaran. Jurang masih wujud antara latihan di bilik darjah dan keperluan sebenar industri. Di banyak kawasan luar bandar, institusi bergelut untuk mendapatkan akses kepada peralatan moden dan teknologi digital,” tegasnya lagi.
TVET bukan lagi pilihan kedua untuk pelajaran peringkat lebih tinggi.
Keberhasilan yang dapat disaksikan melalui Majlis TVET Negara, kata Timbalan Perdana Menteri lagi, ialah mentransformasi bidang tersebut ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan, bagi memenuhi keperluan industri negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga pernah berkata, pembiayaan dalam bidang-bidang ini akan menggalakkan institusi TVET membangunkan program-program latihan selari dengan hasrat Kerajaan untuk memantapkan sektor dan industri dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (HGHV), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Ia dilihat kritikal untuk mewujudkan peluang pekerjaan berimpak tinggi selari dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kemampanan, anjakan demografi dan globalisasi rantaian nilai yang akan mengubah sifat pekerjaan yang memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.
Bagi Mohd Faris, 25, Juruteknik Pesawat di AirAsia orang berkata, "Kalau tak pandai belajar, masuklah vokasional."
Namun, keputusannya untuk memilih program Teknologi Aeroangkasa di sebuah kolej vokasional pada 2018 telah mengubah hidupnya. Kini, selepas menamatkan latihan industri dengan cemerlang, beliau bekerja sebagai juruteknik penyelenggaraan pesawat di AirAsia dengan gaji permulaan RM3,500 – lebih tinggi daripada purata gaji graduan universiti dalam banyak bidang.
Begitu juga Aina Sofiya, 28, usahawan katering berjaya. Selepas SPM, wanita cekal ini memilih untuk mengikuti kursus Kulinari di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Dengan kemahiran yang dipelajari, beliau memulakan perniagaan katering kecil-kecilan pada 2020.
Kini, syarikatnya mempunyai 15 pekerja dan memperoleh pendapatan bulanan melebihi RM20,000. "TVET bukan jalan singkat, tapi ia laluan tepat jika kita tekun," katanya.
Bagi Jason Lim, 30, pakar robotik di syarikat multinasional, gagal dalam peperiksaan SPM, tidak bermaksud hidupnya berakhir, tetapi ia membuka lembaran baharu dalam skrip hidupnya.
Dengan penuh kecekalan, dia memulakan kerjayanya sebagai pelatih di sebuah pusat latihan kemahiran industri automotif.
Selepas mendapat sijil lanjutan dalam bidang robotik, beliau kini bekerja di sebuah syarikat multinasional Jerman dengan gaji RM6,000 sebulan. "TVET memberi saya kemahiran sebenar, bukan sekadar teori," ujarnya.
Kisah-kisah ini membuktikan bahawa TVET bukan lagi pilihan kedua, tetapi laluan pantas menuju kerjaya yang stabil dan menguntungkan.
35 peratus tenaga kerja TVET menjelang 2030
Dalam siaran media berkaitan, Kerajaan yakin bahawa sasaran untuk mencapai 35 peratus tenaga kerja berkemahiran tinggi menjelang tahun 2030 melalui laluan TVET adalah sesuatu yang realistik dan dalam landasan yang betul.
Ia berkata, unjuran itu berdasarkan perkembangan positif yang telah dicapai dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini hasil pelaksanaan strategi berfokus di bawah Dasar TVET Negara 2030.
“Pendekatan menyeluruh yang merangkumi penjajaran program latihan dengan keperluan industri, pengukuhan laluan pendidikan bertaraf dunia, serta pelaburan dalam bidang berteknologi tinggi telah meletakkan TVET sebagai satu laluan kerjaya yang semakin diyakini,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu ia berkata, persepsi masyarakat terhadap TVET juga telah menunjukkan perubahan ketara, dengan peningkatan konsisten dalam kadar kemasukan dan enrolmen pelajar ke institusi TVET.
“Pada tahun 2022, jumlah kemasukan ke program TVET ialah 166,577 pelajar, meningkat kepada 175,780 pada 2023, dan melonjak kepada 212,022 pada tahun 2024. Dari segi keseluruhan enrolmen pula, ia meningkat daripada 394,976 pada 2022 kepada 407,038 pada 2023, dan mencatat 436,285 pada tahun 2024.
“Lebih meyakinkan, kadar kebolehpasaran graduan TVET terkini telah mencecah 94.5 peratus, angka tertinggi setakat ini, yang menunjukkan bahawa program TVET semakin relevan dan responsif terhadap kehendak industri,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu ia berkata, faktor-faktor lain yang turut menyokong keyakinan ini termasuk peningkatan kerjasama strategik antara institusi TVET dan industri, pengenalan sistem jaminan kualiti tunggal, pelaksanaan pensijilan profesional, serta peluasan akses kepada bidang High Growth High Value (HGHV) seperti semikonduktor, EV, automasi dan teknologi hijau.
Inisiatif seperti sistem UP_TVET turut memudahkan pemohon mengakses peluang latihan kemahiran, manakala laluan artikulasi ke peringkat lebih tinggi seperti universiti teknikal dan pensijilan profesional membuka ruang kemajuan kerjaya yang lebih luas.
Hari TVET Negara 2025: Peluang untuk Meneroka Masa Depan Gemilang
Kini hasrat dan cita-cita mereka yang pernah terkandas dalam pelajaran, untuk mencatur masa depan yang lebih bermakna, terbuka dengan penganjuran Hari TVET Negara 2025 (HTN2025)
Menurut siaran media oleh penganjur, acara tersebut bakal berlangsung pada 11-13 Jun 2025 di Melaka International Trade Centre (MITC) dengan tema "TVET Pilihan Utama Kerjaya".
Dalam tiga hari penganjuran tersebut, pengunjung berpeluang untuk melihat dan merasai sendiri demonstrasi kerjaya secara langsung – melihat sendiri bagaimana juruteknik mahir bekerja dalam bidang automotif, penerbangan, dan robotik.
Malah, pengunjung juga berpeluang menghadiri sesi temuduga segera dengan syarikat multinasional dan berkaitan kerajaan seperti seperti Petronas, Sime Darby, dan Intel.
Selain mengunjungi HTN2025, mereka yang berminat untuk menceburi bidang TVET boleh boleh melayari laman web permohonan https://mohon.tvet.gov.my yang bakal dibuka sehingga 16 Jun 2025.
#Ahmad Zahid Hamidi #Hari TVET Negara 2025 #pendidikan #negara berpendapatan tinggi