Hari Wilayah 2026: Presiden Mahkamah Rayuan dahului senarai penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat

Abu Bakar dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kepada 54 individu sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Istana Negara, di sini.
Turut berangkat ke istiadat itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Mendahului senarai penerima ialah Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais yang dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut dikurniakan SMW ialah Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Nor Azmie Diron dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud.
Istiadat itu turut menyaksikan 15 individu dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk, didahului Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Penerima PMW lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital Fabian Bigar, Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pertahanan Mohd Yani Daud, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan Datuk Parang Abai @ Thomas serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya S. Surrendren.
Turut dikurniakan PMW ialah Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Badarudin Taha, Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia Pesuruhjaya Polis Gilbert Philip Layang, Panglima Latihan dan Doktrin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Mohd Razib Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat Malaysia Sea Games Organising Committee (MASOC) Abdul Rashid Yaakub.
Penerima PMW lain ialah profesor daripada Universiti Utara Malaysia Prof Dr Norazah Mohd Suki; Pengarah Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia Prof Dr Muhammad Rezal Kamel Ariffin; Naib Canselor Enforcement, Leadership and Management University (ELMU) Datuk Prof Dr Mohd Kassim Noor Mohamed; Pengurus OKA Marketing Sdn Bhd Lim Chee Hong serta bekas atlet badminton negara Soo Beng Kiang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


