Harimau belang ditangkap di Dungun, Perhilitan temui kecederaan akibat ditembak

Nur Fazlizai Ali
Februari 22, 2021 11:22 MYT
Perhilitan menemui kesan kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk perut dan belakang haiwan itu, dipercayai ditembak pihak tidak bertanggungjawab. - Perhilitan
DUNGUN: Seekor harimau jantan yang digelar 'Awang Rasau' berjaya ditangkap di sebuah ladang sawit di Felda Kerteh 3, Dungun pada Isnin.
Harimau jantan berusia kira-kira 16 tahun itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam operasi diketuai Pusat Penyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.
Penolong Pegawai Hidupan Liar Kanan NWRC, Nik Mohd Zamani Awang berkata, pihaknya telah memulakan operasi berkenaan kira-kira jam 8 pagi.
Katanya usaha mengesan harimau berkenaan dilancarkan selepas menerima aduan daripada orang awam yang menyedari kehadirannya di kawasan itu pada petang Ahad.
"Kami mengambil masa hampir empat jam bagi menangkap harimau yang dianggarkan seberat 160 kilogram itu.
"Terdahulu, sebaik kami berjaya menjejaknya, harimau tersebut cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya di sini.
Nik Mohd Zamani berkata, pihaknya menemui kesan kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk perut dan belakang haiwan itu, dipercayai ditembak pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan harimau tersebut adalah haiwan sama yang menyerang ternakan milik penduduk yang pernah dilaporkan media, sebelum ini.
Menurutnya, harimau itu akan dibawa balik ke NWRC petang Isnin untuk dirawat.
Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video harimau berkenaan yang cedera pada bahagian kaki ditemui di sebuah ladang di Kerteh 3.
#Harimau belang #awang rasau #Dungun #Perhilitan #ladang sawit #Kerteh #ditangkap #diselamatkan #aduan awam