Harimau dahan cedera dilanggar motosikal

Sinar Harian
Disember 16, 2023 02:00 MYT
Harimau dahan yang tercedera dipercayai dilanggar sebuah motosikal pada Rabu lalu. - Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berjaya menyelamatkan seekor harimau dahan tercedera dipercayai dilanggar sebuah motosikal, pada Rabu lalu.
Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, kejadian itu dimaklumkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih.
Kenyataan itu memberitahu, Perhilitan dengan kerjasama bomba tiba ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat harimau betina seberat 30 kilogram itu.
"Setelah menjalani pemeriksaan lanjut, harimau itu mengalami luka-luka kecil di bahagian luaran dan cedera pada rahang mulut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut kenyataan itu, haiwan liar itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sangkar pindah dan seterusnya dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak untuk rawatan selanjutnya.
Jelas beliau, harimau dahan merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya dalam Jadual Kedua, Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010 dan berstatus kategori spesis terdedah ancaman (vulnerable) di dalam senarai International Union for Conservation of Nature (IUCN) Red List of Threatened Species.
"Ini bermaksud spesies ini menghadapi risiko tinggi kehilangan habitat dan ancaman lain yang menyebabkan penurunan populasi kepada spesies harimau tersebut," jelas kenyataan itu. - Sinar Harian
#harimau dahan #Perhilitan #Nahas #motosikal