KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya merakam keterangan jururawat dan doktor Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB), MAEPS Serdang bagi membantu siasatan pengamal media daripada pelbagai agensi yang didakwa menceroboh pusat itu pada Isnin lalu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehawan Mohamed, ini berikutan dewan itu diwartakan sebagai tempat Pusat Kuarantin dan Rawatan Penyakit Berjangkit COVID-19 (PKRC) yang melarang orang luar memasuki kawasan itu tanpa kebenaran.

Beliau berkata, dewan itu ketika ini menempatkan 496 pesakit wanita positif COVID-19.

"Pihak polis tidak mengganggu penugasan doktor tersebut semasa merakam keterangan tersebut kerana keterangan yang direkod ada secara bergilir-gilir.

"Memandangkan ramai doktor yang dirakam percakapan sebagai saksi polis, oleh sebab itu penugasan tersebut berlarutan sehingga sebelah pagi," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Tambah Md Noor, setakat ini polis sudah merakam keterangan daripada 17 individu terdiri daripada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) termasuk doktor dan jururawat yang bertugas ketika kejadian bagi membantu siasatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan atas kesalahan menceroboh kawasan.

Siasatan juga dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan membuat rakaman secara langsung di dalam kawasan yang dilarang sehingga memaparkan pesakit yang sedang menerima dirawat.



Jangan lagi rosakkan semangat dan moral pasukan doktor - Saifuddin Nasution

Hartal doktor kontrak diadakan serentak di seluruh negara pada 11 pagi Isnin lalu di lebih 20 hospital awam.

Mereka menuntut supaya diserap kepada jawatan tetap selepas tamat tempoh ‘housemanship’ dan faedah-faedah lain yang setara dengan doktor berjawatan tetap.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bagaimanapun memberi jaminan kumpulan doktor kontrak yang menyertai mogok di seluruh negara pada Isnin lalu tidak akan dikenakan tindakan disiplin.

Katanya, doktor kontrak berkenaan berhak menyuarakan pandangan masing-masing sambil memaklumkan pihaknya menghormati kumpulan berkenaan.