Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini menafikan laporan Facebook kononnya beliau akan meletak jawatan berhubung kenaikan harga bahan api yang akan berkuat kuasa esok.

Hasan mendakwa ada pihak lain yang menggunakan akaun Facebook beliau yang dipalsukan kononnya beliau akan meletak jawatan sekiranya harga petrol RON95, RON97 dan diesel naik pada 1 April.

"Laporan itu adalah palsu dan saya amat kesal dengannya. Ini amat mendukacita kerana kemudahan media sosial disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya amat kesal dengan perkara ini yang bertujuan menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

"Saya tidak perlu diminta oleh sesiapa untuk meletakkan jawatan. Jika saya tidak mendapat kepercayaan daripada kepimpinan, saya sedia berundur. Saya berharap rakyat pandai menilai dan tidak mempercayai laporan tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan khas kepada pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Parlimen Kuala Pilah di sini, hari ini.

Menurut laporan itu: "Datuk Seri Hasan Malek memberi jaminan bahawa tiada sebarang kenaikan harga petrol dan diesel akan dilakukan dalam tempoh terdekat, sekalipun berlaku sedikit kenaikan harga bahan bakar di pasaran. Pada masa ini harga runcit RON95 adalah kekal pada harga RM1.95 seliter, RON97 pada harga RM2.25 seliter manakala diesel pada harga RM1.95 seliter. Sekiranya laporan palsu itu benar, saya dengan rela hati meletakkan jawatan sebagai menteri KPDNKK berkuat kuasa serta-merta tanpa prejudis demi kepentingan rakyat".

Hasan berkata akibat daripada laporan itu persepsi dan pandangan masyarakat tentang peranan beliau sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah tercalar.

"Saya secara keras menyatakan laporan tersebut adalah palsu dan fitnah jahat yang bertujuan mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat di negara ini. Saya sendiri mempunyai bukti yang cukup untuk menyatakan ini adalah satu unsur jahat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya dan pihak kementerian akan mengambil tindakan perundangan ke atas penyebar fitnah ini," katanya.

Katanya laporan polis dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pagi ini selain kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

"Jadi, saya meminta agar perkara ini disiasat dan diambil tindakan segera," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata umum mengetahui bahawa Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan dimulakan esok dan kementeriannya serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia sudah cukup bersedia.

"Kita akan menghadapi apa juga cabaran yang akan berlaku. Saya yakin dengan komitmen dan persetujuan pelbagai pihak termasuk syarikat besar, Persatuan Pengedar Petrol Malaysia, Persatuan Pengeluar Ternakan dan Persekutuan Pengilang Malaysia dengan pelaksanaan CBP ini," katanya.