ANKARA: Penjualan senjata oleh 100 pengeluar terkemuka dunia mencecah AS$531 bilion pada 2020, menyaksikan pertumbuhan untuk tahun keenam berturut-turut, dengan didahului oleh Amerika Syarikat (AS) merangkumi 54 peratus.

Hasil jualan senjata dan perkhidmatan ketenteraan meningkat 1.3 peratus berbanding tahun sebelumnya, lapor Agensi Anadolu memetik laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) berkata dalam satu laporan.

AS terus menerajui senarai apabila jualan senjata oleh 41 syarikat negara itu berjumlah AS$285 bilion, peningkatan sebanyak 1.9 peratus tahun ke tahun.

Sejak 2018, lima syarikat teratas dalam senarai ranking, kesemuanya berpangkalan di AS, menurut laporan itu.

Mengambil kira 13 peratus daripada jumlah itu, jualan oleh lima syarikat China meningkat 1.5 peratus kepada AS$66.8 bilion dalam tempoh yang sama.

Syarikat dari United Kingdom di kedudukan ketiga terbesar tahun lalu dengan hasil jualan mencecah AS$37.5 bilion pada 2020, meningkat 6.2 peratus berbanding 2019.

Jualan senjata syarikat Rusia pula menurun sebanyak 6.5 peratus mencecah AS$26.4 bilion tahun lepas.

Sementara itu, Aselsan syarikat tunggal industri pertahanan Turki pula menduduki tempat ke-51 dengan jualan bernilai AS$2.2 bilion pada 2020, lonjakan sebanyak 12 peratus berbanding tahun sebelumnya.

-- BERNAMA