MERSING: Minat mengait sejak berusia belasan tahun hingga menghasilkan pelbagai rekaan kraf berasaskan benang nilon seperti beg, kotak tisu, bunga telur dan alas meja, membolehkan seorang suri rumah menjana pendapatan lumayan hanya dari kediamannya.

Rahimah Hassan, 58, berkata dia mula mempelajari kraf kait secara lebih mendalam selepas melihat ibunya yang gemar mengait ketika itu, malah usaha berkenaan tidak sia-sia apabila dia kini mampu menjadi seorang tenaga pengajar dalam bidang berkenaan.

Ibu enam anak itu berkata permintaan terhadap hasil kraf itu juga semakin meningkat sejak tiga tahun lepas dengan pelanggannya bukan sahaja dalam kalangan masyarakat tempatan, malah rakyat Singapura khususnya secara dalam talian.

"Pada mulanya, saya sekadar mencuba-cuba namun usaha itu kini telah menjadi peluang untuk saya menambah pendapatan keluarga. Kraf pertama yang berjaya saya buat ialah bunga dan hari demi hari semakin banyak tempahan diterima seperti beg, kotak tisu dan bunga telur.

"Saya juga mempelajari teknik penghasilan kraf mengait melalui aplikasi YouTube, terutama kraf moden agar penghasilan mengikut peredaran masa," katanya kepada Bernama pada program Cuti-Cuti Mersing di sini baru-baru ini.

Rahimah yang menetap di Kampung Air Papan Tengah di sini berkata mengait memerlukan kemahiran dan kesabaran yang tinggi.

Katanya antara barangan yang paling disukai pelanggan ialah beg tangan yang dijual antara RM40 hingga RM150 sebuah mengikut saiz serta kesukaran untuk menghasilkannya.

"Produk paling sukar dibuat setakat ini ialah alas meja makan dan pernah ada satu tempahan mengambil masa hingga tiga tahun untuk disiapkan, manakala paling mudah ialah perhiasan kecil seperti bunga dan rantai kunci yang hanya mengambil masa kira-kira 10 minit," katanya.

Menurut Rahimah dia kini merancang untuk mengait cenderahati hiasan dinding berkonsepkan Mersing dan pulau-pulau di daerah ini yang turut dihiasi dengan corak batik.

-- BERNAMA