Hasil perikanan negara perlu dipertingkat dan dipertahankan daripada pencerobohan nelayan asing, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Justeru, beliau berkata usaha akan diteruskan untuk memulihara dan melindungi habitat marin dan sumber perikanan di perairan negara.

"Selain itu penguatkuasaan undang-undang terhadap pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing juga perlu diperkuat," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek tukun tiruan di perairan negeri Sarawak di sini pada Rabu.

Untuk tujuan itu, katanya tambahan 180 unit tukun jenis konkrit yang dinamakan tukun rekreasi bernilai RM2 juta akan ditanam di perairan Sematan hingga ke Lundu.

"Kajian di beberapa negara mendapati pendaratan ikan yang ditangkap berhampiran kawasan tukun meningkat daripada 60 peratus kepada 2,000 peratus," tambahnya.

Menurut Ahmad Shabery, kajian di Terengganu mendapati tukun mewujudkan habitat baru kepada 63 peratus spesies ikan komersial.

Katanya berdasarkan kajian penyelidik mendapati perairan Sarawak mempunyai biojisim sumber ikan 1,273,081 tan metrik dan mempunyai potensi tangkapan 582,809 tan metrik dan masih banyak sumber belum diterokai di kawasan laut dalam.

Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Malaysia, pada 2014 terdapat 7,329 vesel penangkapan ikan yang berlesen di seluruh Sarawak dan 90 peratus daripada jumlah itu (6,562 unit) merupakan vesel penangkapan ikan tradisional yang beroperasi di Zon A, iaitu kawasan penangkapan ikan yang berada di dalam kawasan lima batu nautika dari pantai.

Sementara itu terdapat 16,349 orang terdiri daripada 14,107 orang nelayan tempatan dan 2,242 orang nelayan asing.

Pada majlis itu Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem turut melancarkan penubuhan sukarelawan perikanan atau nama singkatannya SUPER peringkat negeri Sarawak.

Ahmad Shabery berkata SUPER ditubuhkan bertujuan menangani isu-isu atau cabaran yang berkaitan degan sumber perikanan.

Katanya, ahli SUPER yang dilantik terdiri daripada nelayan dan seramai 50 nelayan di daerah Sematan dilantik ahli SUPER menjadikan jumlah keahlian SUPER di seluruh negeri itu hampir 600 orang.

Antara peranan ahli SUPER, membantu menjalankan pemantauan terhadap pencerobohan di kawasan penangkapan ikan, membantu membanteras sebarang gejala yang menjejaskan ekosistem seperti pencerobohan, penggunaan peralatan yang merosakkan sumber alam sekitar, membantu pematuhan kepada aspek keselamatan di laut dan sungai oleh nelayan dan membantu tugas mencari dan menyelamat (SAR) dalam kes kecemasan apabila diperlukan.