MALAYSIA
Hasil PKP 2.0 masih belum dapat dilihat- Dr Noor Hisham
PKP di seluruh negara kecuali Sarawak dilaksanakan susulan pertambahan kes-kes postif COVID-19 di negeri-negeri. - Gambar fail
KUALA LUMPUR :Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih belum dapat melihat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilaksanakan pada ketika ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, keadaan diharap kembali stabil dalam masa seminggu lagi jika berlaku penurunan kes COVID-19.
"Walaupun kita telah menjalankan PKP 2.0, namun kesan atau hasil PKP ini belum dapat dilihat. Dalam dua, tiga hari ini kes semakin meningkat atau kalau kita lihat kepada unjuran kita. Kalau kita lihat kepada 1.1, jadi kes itu adalah kurang daripada jangkaan kita.
"Namun kalau kita lihat, jangkaan lebih 1.2. Kita harap mungkin dalam tempoh seminggu lagi, kes itu stabil mungkin 3,000 atau sebelum kita lihat pengurangan kes selepas PKP untuk tempoh 2 minggu dulu. Kita akan nilai semula 2 minggu sama ada kita perlu sama ada lanjutkan PKP untuk dua minggu lagi," katanya dalam satu sidang media mengenai COVID-19 pada Selasa.
Tambahnya, PKP di seluruh negara kecuali Sarawak dilaksanakan susulan pertambahan kes-kes postif COVID-19 di negeri-negeri.
"Jadi adalah wajar PKP dilaksanakan untuk seluruh negara. Kedua kita perlu mengetatkan lagi PKP. Walaupun sektor ekonomi penting, namun ia perlu diseimbangkan dengan PKP.
"Jadi ini masih dalam pemerhatian kita untuk kita lihat perkembangan sehari dua lagi, sebelum memperketatkan PKP," ujarnya lagi.
#KKM
#PKP 2 0
#Noor Hisham Abdullah
#Dr Noor Hisham Abdullah
#COVID-19
#PKP
#Kementerian Kesihatan
#perintah kawalan pergerakan