MALAYSIA

HASiL proses bayaran balik cukai RM17 bilion, libat lebih 3.5 juta kes

Astro Awani 19/12/2025 | 11:26 MYT
HASiL berjaya memproses bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM17 bilion sehingga 18 Disember 2025, melibatkan 3,529,748 kes. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) berjaya memproses bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM17 bilion sehingga 18 Disember 2025, melibatkan 3,529,748 kes susulan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.


Ringkasan AI
  • HASiL berjaya memproses bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM17 bilion sehingga 18 Disember 2025, melibatkan 3,529,748 kes susulan peruntukan tambahan yang diumumkan oleh Perdana Menteri.
  • Dana tambahan RM1 bilion pertama digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun tanpa mengira jumlah, sementara RM1 bilion seterusnya memberi tumpuan kepada bayaran balik berusia dua tahun ke atas, khususnya melibatkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
  • HASiL menasihatkan pembayar cukai mengemas kini maklumat akaun bank bagi memastikan proses bayaran balik lancar, dengan komitmen meneruskan proses bayaran secara berperingkat dan teratur, memberi keutamaan kepada tunggakan lama dan pembayar cukai dalam sektor PKS.


HASiL memaklumkan, daripada jumlah tersebut, RM15 bilion diproses bagi tempoh 1 Januari hingga 8 Disember 2025 melibatkan 3,521,929 kes, manakala RM2 bilion lagi diproses secara tambahan dalam tempoh 9 hingga 18 Disember 2025, melibatkan 7,819 kes.

"Daripada keseluruhan RM4 bilion peruntukan tambahan, sebanyak RM2 bilion telah dikreditkan kepada pembayar cukai, manakala baki RM2 bilion akan diselesaikan sepenuhnya sebelum akhir Disember ini.

"Dana tambahan RM1 bilion pertama telah digunakan bagi menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun tanpa mengira jumlah, sementara RM1 bilion seterusnya memberi tumpuan kepada bayaran balik berusia dua tahun ke atas, khususnya melibatkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)," menurut satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, HASiL turut menasihatkan pembayar cukai agar mengemas kini maklumat akaun bank bagi memastikan proses bayaran balik dapat dilaksanakan dengan lancar. Kelewatan bayaran sebelum ini dikenal pasti berpunca daripada maklumat akaun tidak tepat, pertikaian kes mahkamah, tunggakan cukai bagi tahun lain serta syarikat yang telah digulung atau dibubarkan.

HASiL juga menegaskan komitmen untuk meneruskan proses bayaran balik secara berperingkat dan teratur, dengan keutamaan diberikan kepada tunggakan lama dan pembayar cukai dalam sektor PKS.

Sebelum ini, media melaporkan hampir RM19 bilion bayaran balik cukai dijadualkan selesai dilaksana tahun ini.

HASiL juga mengesahkan pembayaran balik cukai bernilai RM16 bilion telah dilunaskan setakat tahun ini.







#hasil #Anwar Ibrahim #cukai #RM17 bilion #pembayaran balik cukai