Skip to main content

Malaysia

Hasil Sabah dijangka lepasi RM7 bilion tahun ini

Hajiji berkata Sabah menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion bagi 2027, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini. - Gambar Astro AWANI
Hajiji berkata Sabah menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion bagi 2027, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini. - Gambar Astro AWANI

Advertisement

KUDAT: Kerajaan Sabah menjangkakan hasil negeri bagi tahun ini melepasi RM7 bilion, susulan kedudukan kewangan negeri yang kekal kukuh dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak edisi DUN Tanjong Kapor di Kudat, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata hasil negeri direkodkan sebanyak RM6.76 bilion pada tahun lalu.

“Insya-Allah, dengan usaha berterusan dan komitmen seluruh jentera pentadbiran, saya yakin hasil negeri bagi tahun 2026 mampu melepasi paras RM7 bilion. Terima kasih kepada Menteri Kewangan yang selalu berjimat cermat.

“Saya komited memastikan peningkatan hasil ini diterjemahkan kepada pelaksanaan pembangunan dan inisiatif yang membawa manfaat nyata kepada rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji menambah, peningkatan hasil negeri akan memberi ruang kepada kerajaan untuk meneruskan pembangunan serta memperluas bantuan dan sokongan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah turut menerima peruntukan Persekutuan sebanyak RM18.7 bilion bagi 2027, meningkat berbanding RM17.6 bilion pada tahun ini.

“Peruntukan itu disifatkan penting bagi memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan penyampaian perkhidmatan serta menangani isu jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sabah,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri turut melihat potensi besar Kudat untuk dibangunkan sebagai hab ekonomi biru serantau menerusi cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru yang diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13.

Projek itu memberi tumpuan kepada industri makanan laut, logistik perdagangan dan aktiviti ekonomi berasaskan laut, dengan kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan marin kekal menjadi asas pelaksanaannya.

Must Watch Video

Advertisement