Hasilkan produk baharu untuk tarik pelancong - Nancy

Bernama
Disember 14, 2021 22:57 MYT
Nancy berkata langkah itu perlu sebagai persediaan sektor pelancongan negara menerima pelancong berskala besar apabila sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa kelak. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ( MOTAC) mengajak pemain industri pelancongan di negara ini meneroka idea-idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik sekali gus memastikan Malaysia terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu perlu sebagai persediaan sektor pelancongan negara menerima pelancong berskala besar apabila sempadan negara dibuka kepada pengembara antarabangsa kelak.
"Langkah ke hadapan kami ialah merealisasikan apa yang kami rancangkan dalam Dasar Pelancongan Negara. Kami akan berkolaborasi dengan pihak swasta untuk menggalakkan pelabur atau pihak berkepentingan daripada kerajaan negeri dan agensi-agensi lain (untuk merealisasikan dasar pelancongan negara).
"Kami nak mereka bekerjasama, berkolaborasi dengan kami sebab kita perlu tampil dengan idea baharu. Sebab itu kami akan ada makmal dengan beberapa agensi lain. Ini sudah saya bincang dengan beberapa pihak untuk menggalakkan pemain industri mewujudkan zon pembangunan pelaburan pelancongan baharu," katanya.
Nancy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan 'Tower Walk 100' dan Sambutan Ulang Tahun Menara Kuala Lumpur ke-25 di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Nancy juga mahu pemain industri pelancongan di negara ini termasuk dalam kalangan usahawan muda agar menggunakan teknologi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan berasaskan kebudayaan tempatan.
Katanya cara itu boleh memperkenalkan keunikan kebudayaan Malaysia kepada negara luar sekali gus menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.
Menurut Nancy pada 2019 sebanyak RM85 bilion terimaan pelancongan (tourism receipt) asing direkodkan manakala pelancongan domestik RM103 billion.
-- BERNAMA
#MOTAC #pelancongan #Nancy Shukri #Dasar Pelancongan Negara