Hasrat adik bawa kakak beli barang sembahyang tidak kesampaian

Astro Awani
Februari 25, 2015 10:11 MYT
Tan Kha Ghoh ditemui tidak bernyawa lagi di atas katil. - Foto Astro AWANI
Hasrat seorang adik ingin membawa kakaknya membeli persiapan untuk bersembahyang sempena perayaan Tahun Baru Cina tidak kesampaian apabila kakaknya meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi tadi.
Tan Hau Sing, yang tiba di rumah kakaknya, Tan Kha Ghoh, 72, di Alor Setar, Kedah, terkejut apabila menemui kakaknya itu tidak bernyawa lagi dan terbaring di atas katil.
“Kakak saya ingin bersembahyang di tokong esok jadi saya merancang untuk membawanya membeli barangan sembahyang hari ini.
“Tetapi beliau tidak membuka pintu setelah diketuk beberapa kali,” beliau memberitahu Astro AWANI hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat.
#Adzaman Mohd Jan #serangan jantung #Tahun Baru Cina #Tan Hau Sing #Tan Kha Ghoh