Hasrat beraya tidak kesampaian, gadis maut digilis kereta

Astro Awani
Mei 24, 2018 14:26 MYT
Keadaan motosikal yang dibonceng mangsa (gambar kecil) selepas kemalangan maut itu - Foto Astro AWANI
Hasrat seorang remaja perempuan meraikan Hari Raya bersama keluarganya tidak kesampaian apabila dia maut dalam nahas jalan raya di Kilometer 18, Jalan Kota Samarahan-Asajaya.
Fitratul Izzah Hamdan, 17, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal yang dibonceng bersama rakan lelakinya terbabas.
Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, nahas berlaku sekitar jam 3.15 petang tadi ketika mangsa yang berasal dari Kampung Sebandi Ulu, Asajaya dan rakannya itu dalam perjalanan ke Kota Samarahan.
"Mangsa terpelanting ke arah laluan bertentangan kemudian digilis sebuah kereta dan meninggal dunia serta-merta akibat luka parah," jelas Alexson.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk prosedur bedah siasat.
Rakannya yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 turut parah dan kini menerima rawatan di Klinik Kesihatan Asajaya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#hari raya #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia