Impian saorang anggota bomba mangsa lemas, Allahyarham Mohd Fatah Hashim, untuk memiliki kediaman selesa baginya sekeluarga tidak kesampaian ekoran kejadian enam anggota yang terkorban dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong berhampiran Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor, Rabu lalu.

Impian itu diceritakan balunya, Noor Nadia Kamaludin, 29 tahun, bagaimana mereka sekeluarga bersama dua anak, Nur Medina Aisya, tiga tahun, dan Muhammad Meqa Al-Asyraf, dua tahun, yang tinggal menyewa di Kampung Delek, Klang, Selangor dengan bayaran RM500 sebulan.

Katanya, lagi sebagai usahanya mengejar impian tersebut, Noor Nadia menjual kuih sebagai menampung perbelanjaan harian keluarga manakala pendapatan suami pula untuk simpanan bagi memiliki rumah sendiri.

"Sekarang ni saya memang tidak ada rumah (sendiri), hanya menyewa sahaja. Kalau boleh, saya hendak minta bantuan (membeli) rumah untuk saya dan anak-anak. Sebelum ini, memang arwah ada rancang hendak beli rumah sendiri tetapi tak sempat…," katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarga mentuanya di Kampung Baru Beserah di Kuantan pada Jumaat.

Wan Rosdy (kanan) menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban kepada Noor Nadia (kiri) ketika menziarahi keluarga mangsa di Kampung Baru, Beserah, hari ini. - BERNAMA
Tambah Noor Nadia lagi, dia berharap hasrat membeli rumah itu dipermudahkan dengan bantuan mana-mana agensi kerajaan bagi meringankan beban keluarganya kerana kini pendapatannya bergantung sepenuhnya kepada pencen arwah suaminya.

Terdahulu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengadakan kunjungan ziarah ke rumah keluarga Mohd Fatah bersama Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul.

Wan Rosdy turut menzahirkan simpatinya atas kehilangan anggota keluarga itu dan menyanjung tinggi pengorbanan mangsa yang terkorban dalam operasi menyelamatkan orang lain.

Katanya, Kerajaan Negeri Pahang akan bersama dengan JBPM membantu meringankan beban keluarga Mohd Fatah.

"Saya juga meminta pihak bomba beri perhatian kepada keluarga Allahyarham kerana saya percaya banyak perkara yang perlu dibantu, terutama dari segi aspek kebajikan.

"InsyaAllah, Kerajaan Negeri akan memberi sedikit sumbangan kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Mohd Fatah yang juga anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Pasukan Bomba dan Penyelamat terkorban bersama lima rakannya dalam operasi menyelamat seorang remaja yang dilaporkan tergelincir, ketika memancing di lombong di Puchong pada pukul 9.15 malam Rabu lalu.