Polis Kelantan mengesan modus operandi kumpulan penjenayah warga asing yang mengekori mangsa dari bank untuk tujuan menyamun.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim menjelaskan, kumpulan penyamun atau perompak ini akan mengekori mangsa yang baru keluar dari bank dan kemudian menyamun dengan memecah cermin kenderaan.

Berdasarkan siasatan, jenayah ini didalangi oleh warga Indonesia yang dipercayai berasal dari Batam.

Taktik licik ini berjaya dibongkar selepas tertangkapnya lima ahli kumpulan penyamun itu yang terlibat dalam kemalangan pada 25 April lalu.

"Penyamun dan perompak ini tumpu kepada bank-bank dan memerhati mangsa yang mengeluarkan wang yang banyak.

"Jadi, salah seorang ahli kumpulan mereka akan berlagak seperti pelanggan di dalam bank terlibat dan memaklumkan mengenai mangsa yang jadi sasaran," kata Mazlan semasa sidang media di sini, hari ini.

Siasatan juga mendapati kumpulan penyamun ini sudah melakukan lapan kes di Kelantan dan masing-masing satu kes di Johor, Pulau Pinang dan Kedah yang melibatkan kerugian hampir RM1 juta.

Dalam kejadian 25 April lepas, kumpulan terbabit menyamun seorang taukeh lembu yang mengeluarkan wang dari bank berjumlah RM150,000.

Mereka menggunakan dua buah kenderaan, iaitu motosikal dan kereta.

Penunggang motosikal bertindak memecah cermin kereta dan menyamun wang manakala kereta digunakan untuk mengaburi dan memintas sekiranya dikejar.

Namun dalam insiden berkenaan, kesemua lima ahli kumpulan termasuk wanita warga asing itu bernasib malang kerana dikejar oleh mangsa sehingga terlibat dalam kemalangan di Repek, Pasir Mas.

Malah, kesemua suspek dibelasah oleh penduduk kampung sebaik terlibat dalam kemalangan.

Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 36 tahun itu direman sehingga 9 Mei depan dan kes disiasat mengikut seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 61 Akta Imigresen.