Ketika artikel ini ditulis (pagi Selasa), bayi yang mengidap penyakit Atresia Biliari (hati), Arshad Imanshah dan ayahnya yang juga penderma hati untuk Arshad, Antashah Mohd Nor sedang berada di bilik pembedahan di Hospital Universiti Singapura (HUS).

Antashah sedang bertarung nyawa demi melihat masa depan Arshad ceria seperti kanak-kanak lain. Sambutan Maal Hijrah pada Sabtu lepas yang juga genap 19 bulan Arshad diharap hijrah kehidupan buat keluarga Antashah sendiri.

Kata Antashah, pada Khamis lepas, Arshad telah membuat pengimbasan tomografi berkomputer atau CT Scan terakhir untuk melihat salur darah bagi hatinya bagi pakar bedah menentukan tarikh pembedahan hati.

"Salur darah Arshad kelihatan sedikit kecil namun pakar bedah yakin untuk meneruskan pembedahan yg dijadualkan pada hari Selasa," katanya sebelum memasuki dewan pembedahan.

Katanya, dia akan dibedah beberapa jam sebelum Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati yang mengambil masa kira-kira lapan sehingga 12 jam.

Adik Arshad
Arshad ditemani oleh bapanya ketika dalam rawatan. - Foto Astro AWANI

Jelasnya, sebelum pembedahan, Arshad perlu makan dan minum susu mengikut kiraan kalori yg ditetapkan oleh pakar pemakanan.

"Arshad memerlukan 1120 sehingga 1200 kalori sehari. Kita memang berusaha untuk beri Arshad mengikut kalori yang ditetapkan walaupun seleranya sedikit berkurangan akhir-akhir ini," ujarnya.

Sebelum ini, Arshad diberi antibiotik paling kuat Arshad kerana demam panas sehingga 38 ke 39 darjah Celsius selain doktor menjumpai bakteria di dalam darahnya.

Manja dengan bapa
Adik Arshad masih mahu bermanja dengan bapanya, Antashah yang merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Komunkasi dan Pengajian Media UiTM, Shah Alam. - Foto Astro AWANI
Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam memberitahu, sebelum ini, pembedahan hati Arshad terpaksa ditangguhkan kerana diarrhea dan muntah-muntah selain terpaksa direhatkan untuk menjalani pemeriksaan rapi.

Sejak Julai, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang pada mulanya memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.

Arshad juga pernah kritikal dan mengalami muntah darah selain pendarahan di hidung sebelum dibawa ke HUS untuk menjalani prosedur pembedahan.

Jelas Antashah, pada tahap sekarang, apa yang bermain di fikirannya hanyalah harapan agar dirinya dan Arshad sendiri sihat selain kejayaan pembedahan berkenaan.

"Apa pun yang bakal terjadi, kami sudah berusaha, bertawakal dan berserah pada Allah yang satu.
"Harapan mengunung hendak tengok Arshad tidak kuning dan perut kembali kempis.

"Sebagai penderma, saya harap dapat kembali kepada kehidupan sediakala selepas ini," jelasnya.

Katanya, dia tidur di wad sejak Isnin dan apa yang bermain di fikirannya hanyalah harapan dan doa untuk semuanya berjalan seperti yang dirancang.

Penyakit hati
Senyuman Adik Arshah yang sedang menjalani pembedahan di Hospital Universiti Singapura (HUS) pada Isnin - Foto Astro AWANI

"Buat kami sekeluarga, semoga dipermudahkan urusan di sini dan semoga tiada komplikasi selepas pembedahan buat saya dan Arshad," katanya.

Antashah sebelum ini mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu kumpulan khas di Facebook yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ bertujuan mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati anaknya.