GEORGE TOWN: Konteks kenegaraan, nilai-nilai kemerdekaan dan patriotisme harus dihayati dengan terapan normal baharu walaupun sedang berhadapan dengan cabaran krisis kesihatan paling dahsyat ketika ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata selepas tempoh 64 tahun berlalu, kemerdekaan yang dilaungkan telah membuka lembaran baharu buat negara dengan kemajuan dan kejayaan ditempa merupakan nikmat kemerdekaan yang dikecapi.

"Malaysia Prihatin sekali lagi dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, justeru pengertian tersebut wajar diperjuangkan oleh seluruh warganegara Malaysia terutama dalam usaha memerangi serta memutuskan rantaian perebakan wabak COVID-19 demi kelangsungan diri sendiri, keluarga, komuniti, negeri dan negara.

"Kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi tonggak terutama dalam merangka pelan tindakan yang merangkumi aspek kesihatan, keselamatan, kebajikan, ekonomi dan kelangsungan hidup seluruh rakyat di negeri ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Chow berkata sejak penularan pandemik COVID-19 diisytiharkan pada Mac 2020, Pulau Pinang telah mengambil langkah proaktif dengan meluluskan peruntukan kira-kira RM175 juta melalui lima Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang bagi membantu golongan rakyat yang terkesan termasuk bantuan kepada lain-lain sektor berkaitan.

Beliau turut menekankan bahawa proses vaksinasi merupakan harapan untuk negeri itu kembali mengawal perebakan wabak COVID-19 dan menyeru rakyat terus menyokong Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dengan menjadi penerima vaksin sekali gus membolehkan Pulau Pinang beralih ke fasa seterusnya dalam Pelan Pemulihan Negara.

"Akhir kata, sebagai anak Malaysia yang cintakan tanah air ini, bersama-samalah kita kibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan semangat patriotisme. Terapkan amalan normal baharu dalam kehidupan, patuhi SOP, kekal sihat dan kekal selamat," katanya.

-- BERNAMA