Hebahan tarikh mengundi tanggungjawab semua pihak terlibat - KP Penerangan

Bernama
September 5, 2018 02:59 MYT
Ibrahim (kiri) melihat maklumat PRK DUN Balakong ketika melawat Pusat Media N27 Balakong, hari ini. --fotoBERNAMA
Hebahan tarikh sesuatu pilihan raya menjadi tanggungjawab setiap pihak terlibat termasuk calon bertanding dan media, bukan hanya terletak ke atas sesebuah agensi kerajaan, kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Katanya, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing bagi meningkatkan kadar peratusan pengundi pada hari mengundi dan menggunakan tempoh berkempen sebaiknya.
"Saya tak nak beri 'weightage' peranan siapa lebih berat, tetapi masing-masing ada tanggungjawab, hebahan walaupun sudah dibuat ia perlu diulang acap kali.
"Kita perlu ambil iktibar apa yang terjadi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis baru-baru ini di mana peratusan keluar mengundi tak sampai 50 peratus," katanya kepada Bernama selepas meninjau Pusat Media PRK DUN Balakong yang disediakan Jabatan Penerangan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki pada PRK berkenaan pada Selasa bahawa masih ramai dalam kalangan penduduk Balakong yang tidak sedar mengenai tarikh pilihan raya kecil berkenaan, Sabtu ini.
Ibrahim menjelaskan, Jabatan Penerangan dalam hal ini telah menjalankan peranannya sepertimana pada kesemua pilihan raya yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Malah, katanya, pihaknya menyediakan dua buah unit bergerak masing-masing bagi PRK DUN Balakong dan DUN Seri Setia yang berlangsung serentak bagi menghebahkan maklumat mengenai PRK berkenaan kepada pengundi.
Beliau turut meminta setiap calon untuk melipatgandakan usaha masing-masing dalam mempromosikan tarikh pilihan raya, supaya unjuran peratusan keluar mengundi sebanyak 70 peratus oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dapat dicapai.
-- BERNAMA
#agensi kerajaan #calon #hebahan #Ibrahim Abdul Rahman #Jabatan Penerangan #kempen #Ketua Pengarah #Media #mengundi #pilihan raya #pilihan raya kecil #PRK DUN Balakong #PRK DUN Sungai Kandis #SPR #sungai kandis #tarikh #unit bergerak #wong siew ki