KUALA LUMPUR: Sebuah helikopter dilapor terhempas ketika menjalani ujian penerbangan di Subang pada pagi Sabtu.

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Norazman Mahmud mengesahkan insiden itu dalam satu kenyataan media pada Sabtu:

Jelasnya, tujuh penumpang termasuk juruterbang terselamat dan berada dalam keadaan stabil.

“Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan insiden kemalangan sebuah helikopter jenis Leonardo SpA AW189, nombor pendaftaran 9M-BOF di kawasan apron UniKL MIAT Hangar dekat Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada Sabtu, 22 Julai 2023.

“Helikopter yang dikendalikan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu sedang menjalani ujian penerbangan,” jelasnya.

Bagaimanapun ujarnya, ketika sesi ujian, helikopter terbabit terhempas di kawasan hangar.

“Menara kawalan trafik udara Subang menerima laporan kemalangan pada jam 11.52 pagi dan Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) telah bertindak segera terhadap insiden tersebut,” katanya lagi.

Dimaklumkan juga siasatan lanjut akan dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan mengikut Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.