KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegur Ahli Parlimen supaya tidak mengungkapkan perkataan-perkataan sensitif seperti kafir, zionis dan yahudi di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, beliau meminta Ahli-ahli Parlimen untuk membawa isu-isu rakyat serta negara sebagai matlamat utama dan tidak menjadikan Dewan Rakyat sebagai medan politik.

"Kita telah mengharungi empat hari perbahasan belanjawan 2024 sepanjang minggu lalu. Dalam perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat, pelbagai hujah dan pendirian yang telah diutarakan yang mendorong ke arah perkara-perkara sensitif yang mengguris hati.

"Kenyataan-kenyataan yang mengeruhkan suasana dan menyentuh sensitif, keharmonian bersifat label-melabel antara kita. Ini termasuk kenyataan kafir, zionis dan yahudi antara ahli-ahli Yang Berhormat," katanya  di Dewan Rakyat di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Johari turut meminta Ahli Parlimen membuka lembaran baharu selain memadamkan isu panas yang dibangkitkan pada minggu lalu itu.

"Pada hari ini, saya mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu.

"Padamkanlah isu panas tersebut yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan Ahli-ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar di sana," jelasnya.

Justeru beliau menggesa Ahli-ahli Parlimen untuk menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan ini sebagai medan politik kumpulan mahupun individu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan tidak akan bertolak ansur lagi dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan berkenaan dibangkitkan.

Minggu lalu dilaporkan tindakan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Ahmad Marzuk Shaary yang didakwa menyebut 'DAP kafir' mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat.

Sementara utu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen daripada Pas itu sebagai kurang sopan dan biadab kerana DAP juga dianggotai oleh Ahli Parlimen yang beragama Islam.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencelah dan mengucapkan terima kasih kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana beliau menyifatkan dirinya sebagai mangsa kepada penggunaan istilah tersebut.

“Apa yang berlaku pada 18 Oktober lalu, Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) mengatakan saya yahudi merujuk kepada hansard, dia kata saya yahudi, dia tidak tarik balik.

“Pendang (Datuk Awang Hashim) pula dia kata saya zionis, kali pertama dia sebut dia tarik balik, lepas itu dia sebut lagi, saya merujuk hansard, dia sebut empat kali kata saya zionis,” katanya.

Namun Johari meminta beliau mengemukakan bukti dan memasukkan usul supaya boleh diambil tindakan dan berharap isu tersebut tidak berulang.

Sementara itu, isu itu turut menimbulkan rasa tidak puas hati oleh Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib dan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd. Misbahul Munir Masduki yang memaklumkan istilah kafir tidak salah digunakan kepada orang bukan Islam dan bukan bermaksud untuk menghina.

“Yang Berhormat cukuplah, apa lagi yang Yang Berhormat nak buktikan, saya kata cukup, cukuplah,” kata Johari.