Isu berkaitan 101 projek yang dianugerahkan menerusi rundingan terus semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tidak perlu dipolitikkan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, beliau selaku individu bertanggungjawab terhadap isu perbendaharaan negara hanya menjawab soalan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, Seksyen 6(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 membenarkan rundingan terus, sekali gus tiada sebab untuk perkara itu dipolitikkan.

“Selepas saya menjawab isu itu (di Parlimen), banyak permintaan daripada beberapa pihak (supaya) senarai projek tersebut dikeluarkan.

“Jadi, atas dasar ketelusan, saya buat keputusan untuk keluarkan senarai tersebut dan ia berdasarkan fakta.

“Ia bukan atas sebab siapa yang runding, (atau) bilakah ia ditandatangani. Kalau kita lihat, itu adalah data dan fakta menunjukkan LOA (Surat Anugerah) ditandatangan semasa PH (menjadi Kerajaan)

“Jadi, itu sahaja yang ingin saya sebut. Dan ini tidak perlu dipolitikkan. Ini fakta sahaja,” katanya kepada media selepas melancarkan Dana Penjana Nasional di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di sini hari ini.

Pada Isnin, Tengku Zafrul memaklumkan kepada sidang Dewan Rakyat, rekod menunjukkan Kementerian Kewangan ketika diterajui Lim Guan Eng sebelum ini, telah meluluskan 101 projek berkenaan secara rundingan terus.

Namun, beliau menjelaskan, dalam keadaan tertentu, kaedah perolehan secara rundingan terus dibenarkan dengan kelulusan Kementerian Kewangan berdasarkan kriteria tertentu seperti melibatkan keperluan negara yang mendesak.

Susulan pendedahan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, pihaknya akan mendapatkan senarai 101 projek daripada Kementerian Kewangan yang dikatakan diberi secara runding terus, semasa era PH.

Guan Eng dalam kenyataan balas di Parlimen menzahirkan rasa khuatir agensi itu akan mengamalkan ‘double standard’ serta menjadi senjata politik pihak tertentu.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, SPRM perlu bersikap adil, dan turut melancarkan kajian ke atas semua projek rundingan terus sewaktu zaman pentadbiran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.