Apa yang Anda Dapat daripada Bajet 2026? STR, SARA, Bantuan Ibu Tunggal, Pelajar & Banyak Lagi – Semak Analisis Penuh di Sini!
MALAYSIA

Henti sebar rakaman kes seksual babit pelajar sekolah - Fadhlina

Bernama 11/10/2025 | 09:33 MYT
Fadhlina berkata pihaknya telah meminta kerjasama daripada kementerian berkaitan untuk bertindak segera bagi memastikan isu itu tidak terus ditularkan. - Gambar fail/Bernama
SUNGAI PETANI: Semua pihak diminta supaya tidak terus menyebarkan rakaman berkaitan kes salah laku seksual membabitkan pelajar di sebuah sekolah di Melaka baru-baru ini kerana melibatkan individu di bawah umur.


Ringkasan AI
  • Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menggesa agar rakaman kes salah laku seksual pelajar di Melaka tidak disebarkan, kerana melibatkan individu bawah umur yang perlu dilindungi.
  • Mangsa kini menerima rawatan dan sokongan psikososial, manakala KPM telah arahkan tindakan segera di peringkat sekolah untuk mempertingkat keselamatan dan memberi sokongan kepada warga sekolah.
  • KPM akan jalankan siasatan dalaman dan Menteri Pendidikan akan turun ke Melaka, bagi menangani isu ini secara menyeluruh dan memastikan langkah susulan diambil.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihaknya juga telah meminta kerjasama daripada kementerian berkaitan untuk bertindak segera bagi memastikan isu itu tidak terus ditularkan.

"Kita sudah minta kementerian berkaitan untuk ambil tindakan bagi memastikan isu ini tidak terus disebarkan kerana ia melibatkan murid sekolah.

"Masyarakat juga perlu ada kefahaman bahawa kes ini melibatkan anak-anak di bawah umur yang mesti dilindungi," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan projek Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baharu Sungai Lalang, Ambangan Height di sini, hari ini.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar hari ini dilaporkan berkata empat pelajar lelaki berusia 17 tahun yang disyaki terlibat melakukan kesalahan seksual terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan tiga di sebuah sekolah di Alor Gajah pada 2 Okt lepas, direman enam hari bagi membantu siasatan.

Fadhlina berkata mangsa kini sedang mendapatkan sokongan psikososial dan masih dalam rawatan hospital.

"Dalam aspek keselamatan kawasan sekolah, pengarah pendidikan negeri telah diarah untuk mengambil tindakan segera untuk memastikan sokongan diberikan kepada pelajar dan memastikan keselamatan (di sekolah) dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata warga sekolah termasuk guru serta pelajar juga akan diberikan sokongan psikososial memandangkan kes tersebut telah tular.

"Seperti kita tahu sekolah akan menghadapi peperiksaan dan beroperasi macam biasa, jadi sekolah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada isu keselamatan.

"Siasatan dalaman akan dijalankan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk melihat keseluruhan aspek, apa perlu kita tangani pascakes ini dan esok saya akan turun ke Melaka untuk tangani isu ini dengan segera," katanya.

-- BERNAMA





#rakaman kes seksual #pelajar sekolah di Melaka #Fadhlina Sidek #individu di bawah umur