KUALA LUMPUR:Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan agar pengamal perubatan menghentikan sementara penggunaan dua produk vaksin influenza iaitu SKYCellflu Quadrivalent dan Vaxigrip Tetra.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Datin Dr Faridah Aryani Md Yusof berkata tindakan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan terdapat laporan kes kematian dikaitkan dengan kedua-dua produk berkenaan di Korea Selatan.

"KKM mengambil maklum akan MOH Circular No. 214/2020 yang dikeluarkan oleh Health Science Authority (HSA), Singapura pada 25 Okt bertajuk 'Temporary Cessation on The Use of Two Influenza Vaccines' mengenai pemberhentian sementara penggunaan dua produk vaksin influenza itu.

Untuk makluman, terdapat sembilan produk vaksin influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Malaysia, termasuk dua produk vaksin influenza yang dikaitkan dengan kes kematian di Korea Selatan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun menurut Dr Faridah Aryani hanya Vaxigrip Tetra, dalam bentuk ampaian untuk suntikan yang siap diisi dalam picagari sahaja dibekalkan di kemudahan kesihatan KKM.

Malah pengeluar produk Vaxigrip Tetra iaitu syarikat Sanofi Pasteur memaklumkan bahawa nombor kelompok produk Vaxigrip Tetra yang digunakan di Korea Selatan, tidak terdapat di pasaran negara lain, termasuk Malaysia.

"Setakat ini juga, tiada kes kematian yang dilaporkan susulan imunisasi vaksin influenza (quadrivalen) di negara ini," katanya.

Dr Faridah Aryani berkata KKM juga menjalankan pemantauan secara berterusan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan farmakovigilans bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan sentiasa terjamin.

Katanya KKM akan memaklumkan perkembangan berkenaan situasi tersebut dari semasa ke semasa, kepada orang ramai setelah maklumat lanjut diperoleh.

-- BERNAMA