MALAYSIA

Hentikan budaya bergaduh di Malaysia - Hannah

Ernalisa Othman 07/11/2025 | 09:45 MYT
Hannah berkata budaya bergaduh bukan amalan rakyat di negara ini. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: "Jangan jadikan sukan di Malaysia sebagai budaya samseng."


Ringkasan AI
  • Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegur budaya bergaduh dalam sukan di Malaysia, menyeru agar nilai murni dan budaya yang baik ditekankan kepada semua, terutama kanak-kanak.
  • Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan menjalankan siasatan dalaman berkenaan insiden pergaduhan dalam perlawanan ACL2 antara Selangor dan Persib Bandung, serta tahap kawalan keselamatan semasa perlawanan berlangsung.
  • Selangor tersingkir daripada ACL2 musim ini selepas kekalahan keempat berturut-turut, menyebabkan ketegangan di Stadium Shah Alam dengan penyokong memasuki padang dan reaksi pelbagai di media sosial.


Itu amaran Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh susulan insiden pergaduhan dalam perlawanan Aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) antara Selangor dan Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), pada Khamis.

Beliau berkata, budaya bergaduh bukan amalan rakyat di negara ini.

"Hentikan budaya bergaduh. Kita di Malaysia bukan begitu. Jangan beri cerminan yang tidak baik.

"Kita seharusnya menunjukkan budaya atau nilai murni kepada semua terutama kanak-kanak. Hentikan ini semua," katanya dalam sidang media Warzone World Championship, di sini pada Jumaat.

Selain itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dijangka membuka siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan tahap kawalan keselamatan semasa perlawanan berlangsung.

Terdahulu, skuad bimbingan Nidzam Jamil itu tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan selepas mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam kempen ACL2 musim ini.

Kekecohan tercetus selepas beberapa individu dipercayai penyokong Persib Bandung memasuki kawasan tepi padang ketika perlawanan berlangsung.

Selepas tamat aksi berdepan Persib Bandung, suasana di Stadium Shah Alam bertukar tegang apabila beberapa penyokong dilihat menceroboh ke dalam padang dipercayai akibat kecewa dengan kekalahan 2-3 yang dialami pasukan Selangor.

Rakaman kejadian juga tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Bojan Hodak menunjukkan kebangkitan luar biasa apabila berjaya menjaringkan tiga gol selepas ketinggalan 0-2 untuk memastikan kemenangan penting sekali gus mengekalkan kedudukan selesa di puncak Kumpulan G.

Bagi Selangor , keputusan itu membawa padah apabila kekalahan keempat berturut-turut menyaksikan mereka tersingkir secara rasmi daripada saingan peringkat kumpulan ACL2 musim ini.

Selesai perlawanan, ratusan penyokong Gergasi Merah dilihat berhimpun di luar stadium sebagai tanda tidak puas hati terhadap prestasi semasa pasukan kesayangan mereka.

Difahamkan, kapten pasukan, Faisal Halim yang tidak diturunkan pada perlawanan tersebut turut tampil bertemu penyokong bagi meredakan ketegangan dan menenangkan keadaan.









#Hentikan budaya bergaduh #Malaysia bukan budaya samseng #Tunjuk contoh sukan yang baik