KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada semua peniaga yang menjual alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran agar menghentikan perbuatan itu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata pihaknya akan mengambil tindakan penguatkuasaan tegas dan berterusan bagi membanteras kegiatan itu.

"KPDNHEP amat memandang serius perkara tersebut dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu/peniaga yang terlibat dalam menawarkan penjualan alat peranti teknologi penstriman yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran secara fizikal atau digital," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya tindakan tegas di bawah Seksyen 43AA, Akta Hak Cipta 1987 akan dikenakan terhadap mana-mana individu/peniaga yang didapati menjual alat peranti teknologi penstriman mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran.

Beliau berkata jika disabitkan kesalahan, denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM200,000 atau penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan.

Selain itu, KPDNHEP juga akan mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang membolehkan kesemua akaun milik pesalah/suspek dibekukan dan dilucut hak jika didapati bersalah, katanya.

Sementara itu, Azman berkata bagi tempoh 2018 hingga Sept 2022, KPDNHEP berjaya membanteras 531 kes pengedaran cetak rompak secara fizikal dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 5.4 juta.

Katanya dalam tempoh sama, KPDNHEP berjaya melaksanakan sekatan laman sesawang (website blocking) melibatkan sebanyak 2,252 laman sesawang yang mengandungi karya hak cipta tanpa kebenaran dan sebanyak 2,391 kandungan telah diturunkan (content removal) bagi tindakan.

Azman berkata inisiatif yang dilakukan agensi itu untuk memerangi pelanggaran hak cipta digital adalah dengan menyekat laman sesawang cetak rompak melalui program Cyber Copyright Enforcement (CYCORE) dan sehingga September lepas sebanyak 319 sekatan laman sesawang berjaya dilakukan melibatkan penurunan 1,902 kandungan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh terus menyalurkan aduan lengkap kepada kementerian melalui; WhatsApp 019-279 4317/019-848 8000, Portal Aduan; e-aduan.kpdnhep.gov.my, Call Centre 1-800-886-800 dan E-mel [email protected].

-- BERNAMA