Hentikan sementara aktiviti sosial di lokaliti PKPB - Dr Noor Hisham

Astro Awani
Oktober 19, 2020 12:24 MYT
Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua aktiviti sosial termasuk sukan perlu dihentikan buat sementara waktu. - Gambar / AFP Relax
PUTRAJAYA: Semua aktiviti sosial termasuk sukan dan pendidikan perlu dihentikan buat sementara di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
"Apa yang perlu diperketatkan ialah PKPB, bukan melaksanakan (semula) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kita izinkan sektor ekonomi berfungsi tetapi sektor lain seperti sukan, sosial dan pelajaran dalam lokaliti yang dikenal pasti (perlu) dihentikan dulu.
"Apa yang penting, kita nasihatkan mereka yang berada di Lembah Klang dan Sabah... kalau boleh, duduk di rumah kerana virus ada dalam komuniti," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham sekali lagi mengingatkan mereka yang tidak mempunyai urusan penting supaya kekal berada di rumah bagi membendung wabak itu.
Katanya, kaedah itu pernah dibuktikan berjaya mengurangkan jangkitan COVID-19 sebelum ini.
Kerajaan bagaimanapun membenarkan aktiviti sukan seperti gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dalam lokaliti PKPB beroperasi semula Isnin ini dengan syarat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat.
#Dr Noor Hisham Abdullah #SOP #perintah kawalan pergerakan bersyarat #sukan #PKPB #COVID-19 #bola sepak